[VIDEO] Bekas tentera didakwa bunuh isteri, tutup mayat jururawat dengan selimut tebal di Arau berdepan hukuman gantung


Antara kenangan terakhir Munirah Abu Bakar (kiri) yang mati ditikam dengan sebilah pisau oleh suaminya pada akhir September lalu.

SEORANG bekas tentera didakwa pada Rabu di Mahkamah Majistret Kangar, Perlis atas pertuduhan membunuh isterinya yang juga seorang jururawat, akhir September lalu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Indera Zailan Mohamad Sani, 38, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Nor Haliza Md Ali kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Tertuduh didakwa membunuh Munirah Abu Bakar, 31, di sebuah rumah di Jalan Padang Nyu, Arau antara pukul 10 malam, 29 September hingga pukul 6.55 pagi, 30 September lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun, tetapi maksimum 40 tahun dan hukuman tidak kurang 12 sebatan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Asyraf Md Kamal dan Mohd Izham Ali manakala Indera Zailan diwakili peguam Hari Prassaad Rao.

Mahkamah menetapkan 17 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat serta urusan lain berkaitan.

Pada 30 September lepas, polis menahan seorang lelaki disyaki menikam mati isterinya dengan sebilah pisau di kediaman pasangan itu di Jalan Padang Nyu.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintenden Ahmad Mohsin Md Rodi dipetik sebagai berkata, mayat wanita itu ditemukan di bilik tidur kediaman tersebut dan ditutupi dengan selimut tebal selepas suspek tampil menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram