[VIDEO] Mahasiswa ditahan lepas bakar universiti, bunuh 3 orang termasuk anak beranak


  • Benua
  • Jumaat, 29 Sep 2023

Seorang mahasiswa ditahan selepas satu kejadian tembakan di bandar Rotterdam, Belanda hingga mengakibatkan tiga individu maut pada Khamis. — Agensi

SEORANG mahasiswa berusia 32 tahun ditahan selepas satu kejadian tembakan bersasar di bandar Rotterdam, Belanda hingga mengakibatkan tiga individu maut pada Khamis.

Menurut jurucakap polis, Fred Westerbeke, pada awalnya tembakan itu meletus di sebuah rumah persendirian di dataran Heiman Dullaert.

Di lokasi tersebut, lelaki bersenjata itu disyaki membunuh seorang wanita, 39, dan mencederakan anak perempuannya yang berusia 14 tahun, sebelum membakar kediaman mereka.

Remaja perempuan itu dimasukkan ke hospital, namun meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya.

Suspek yang merupakan penuntut di Universiti Erasmus kemudian melarikan diri ke dalam kelas di Pusat Perubatan Universiti Erasmus (EMC) yang terletak berhampiran rumah tersebut, sebelum membunuh seorang doktor berusia 46 tahun.

Jelas Westerbeke, suspek turut bertindak membakar bahagian lain pusat perubatan itu.

"Suspek kemudiannya ditangkap oleh pasukan penangkapan, perkhidmatan intervensi khas di kawasan helipad EMC,” katanya.

Tambah Westerbeke lagi, pihak berkuasa percaya bahawa lelaki berkenaan bertindak secara sendirian.

"Kami percaya ini adalah jenayah bersasar, tetapi siasatan diperlukan bagi mendapatkan butiran lanjut mengenai kes tersebut," ujarnya.

Menerusi perkongsian video di media sosial, suspek dilihat memakai jaket kalis peluru ketika ditahan, selain pistolnya disimpan dalam poket.

Suspek juga dilaporkan mempunyai rekod jenayah, termasuk disabitkan dengan penderaan haiwan pada 2021. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram