Kes bunuh bersenjata, tiga suspek termasuk 2 warga Singapura ditahan di Johor


  • 112
  • Sabtu, 28 Okt 2023

Seorang mangsa lelaki maut dalam satu kes bunuh yang berlaku di Jalan Tun Dr Ismail, Johor Bahru. — Ihsan Polis

POLIS menahan tiga individu dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan seorang lelaki berusia 25 tahun di Jalan Tun Dr Ismail, Johor Bahru, Johor pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, suspek berusia 20-an itu ditahan kira-kira pukul 5.30 pagi.

“Pada pukul 3.41 pagi Jumaat, kami menerima maklumat daripada orang ramai mengenai pergaduhan membabitkan objek tajam yang berlaku di kawasan Johor Bahru yang mengakibatkan seorang lelaki tempatan maut.

“Berdasarkan siasatan awal, pihak polis menemui kesan tikaman di dada, perut, rusuk, bahu, badan belakang serta luka di jari dan pipi mangsa.

“Kami masih menyiasat punca pergaduhan itu,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Tambahnya, polis kemudiannya berjaya mengesan ketiga-tiga suspek di Jalan Tanjung Puteri, Johor Bahru.

“Ketika cuba mengesan suspek, polis menemui sebuah kereta yang memandu dengan cara yang agak mencurigakan.

“Sebaik pemeriksaan lanjut dilakukan ke atas kenderaan itu, pemandu terbabit memecut laju sehingga ke Jalan Tun Dr Ismail sebelum hilang kawalan dan terbabas di laluan berkenaan.

“Kami kemudian menahan ketiga-tiga suspek,” katanya.

Ketika dihubungi, beliau mengesahkan dua daripada suspek adalah lelaki warga Singapura dan seorang wanita tempatan.

“Seorang daripada suspek mempunyai rekod jenayah membabitkan kes dadah manakala ketiga-tiganya didapati positif dadah jenis methamphetamine.

“Kita juga telah merampas sebilah pemegang pisau, pisau, dua helai baju, dua seluar dan tiga buah telefon,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya.

“Seorang daripada suspek yang memandu kereta dan memecut laju selepas diperiksa polis, turut disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram