[VIDEO] Cinta tak berbalas, bapa mentua tergamak kelar leher menantu hamil sampai hilang nyawa


  • Benua
  • Rabu, 01 Nov 2023

Semasa disoal siasat polis, Khoiri (kiri) mendakwa pemikirannya dikawal oleh syaitan ketika melakukan pembunuhan ke atas Fitria pada Selasa.

SEORANG lelaki nekad membunuh menantunya yang sarat mengandung di Dusun Blimbing, Desa Parerejo, Kecamatan Purwodadi, Kabupaten Pasuruan, Jawa Timur, Indonesia pada Selasa.

Pada awalnya, suami mangsa, Sueb, 31, yang baru sahaja pulang daripada kerja terkejut apabila melihat isterinya, Fitria Almuniroh Hafidloh Diyanah berada di atas lantai dalam keadaan berlumuran darah.

Bapanya, Khoiri, 53, yang dipercayai merupakan suspek pembunuhan terus bergegas melarikan diri ke rumah jirannya sejurus mendengar Sueb menjerit ketika melihat isterinya.

Pada masa itu, Ketua Polis Daerah Purwoadadi, Penolong Pesuruhjaya Pujianto bergegas ke tempat kejadian dan menahan pelaku sebaik sahaja menerima laporan.

Mengulas lanjut, pelaku disyaki melakukan pembunuhan itu dengan mengelar leher mangsa menggunakan pisau dapur.

Ketika disoal siasat pihak polis, Khoiri mendakwa dia membunuh menantunya kerana pemikirannya sempit dan tidak tentu arah.

"Saya tertekan, fikiran saya dikawal oleh syaitan, fikiran saya gelap," kata suspek.

Namun, Pujianto berkata, tidak seharusnya tertekan menjadi alasan dia bertindak untuk membunuh menantunya sendiri yang sarat mengandung tujuh bulan.

Pujianto berkata, timbul khabar angin yang menyatakan motif pembunuhan dilakukan adalah kerana mertuanya menyukai menantunya sendiri dan cuba merogol mangsa.

Pujianto berkata, mengikut keterangan daripada suami, mangsa yang bernama Fitria dikatakan sangat rapat dengan Khoiri kerana menganggap keluarga mentua sebagai orang tuanya sendiri.

Namun, Pujianto enggan membuat sebarang spekulasi berhubung motif pembunuhan ini kerana kes masih berada dalam siasatan.

"Kami masih menyiasat motifnya. Anggota pihak polis juga turun untuk menyiasat motif sebenar kes pembunuhan itu," katanya.

Mengikut laporan lanjut, mangsa yang mengandung tujuh bulan dikejarkan ke Pusat Kesihatan Masyarakat Purwodadi, Jawa Timur, Indonesia untuk mendapatkan bantuan tetapi nyawanya gagal diselamatkan.

Sementara itu, berdasarkan maklumat terkini, tindakan perubatan terus diberikan untuk menyelamatkan bayi yang berada dalam kandungan mangsa. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram