[VIDEO] Pemilik rugi RM15,000, pelik pencuri rembat 200 baju di Kota Kinabalu


  • Tular
  • Selasa, 07 Nov 2023

Tangkap layar kejadian seorang lelaki memecah masuk sebuah premis percetakan di Suria Inanam, Kota Kinabalu, Sabah pada Isnin.

SEBUAH kedai percetakan baju di Suria Inanam, Kota Kinabalu, Sabah mengalami kerugian kira-kira RM15,000 selepas dipecah masuk penjenayah dalam kejadian malam Isnin.

Kejadian itu hanya disedari pemilik premis, Mohd Saiful jundulloh Nasir, 33, selepas dimaklumkan oleh pekerjanya sebaik membuka kedai itu lebih kurang pukul 8 pagi keesokan harinya.

Mohd Saiful bagaimanapun memberitahu, suspek tidak mencuri mesin pencetak yang terdapat di dalam kedai, sebaliknya hanya melarikan sebanyak 200 helai baju milik pelanggan.

"Setelah melihat kedai tidak berkunci dan seperti dipecah masuk, pekerja saya maklumkan kepada saya, dan kami pun segera lihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

"Berdasarkan rakaman tersebut, kira-kira pukul 7.20 malam, seorang individu lelaki berpakaian serba hitam dan memakai pelitup muka dilihat membuka mangga kedai dengan menggunakan tuil besi (crowbar)," katanya ketika dihubungi Majoriti.

Menurutnya, ini merupakan kejadian pertama berlaku sepanjang empat tahun membuka perniagaan tersebut di situ.

Mohd Saiful memaklumkan, dia sudah pun membuat laporan di Balai Polis Inanam pada pukul 12 tengah hari, Selasa.

"Saya serahkan siasatan kepada pihak polis," katanya.

Dia dalam pada itu turut menawarkan ganjaran sebanyak RM1,000 kepada individu yang menjumpai pencuri berkenaan dan berjaya memulangkan semula baju-baju yang dicuri.

Bagaimanapun, setakat ini masih belum ada mana-mana pihak yang tampil memberikan sebarang maklumat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram