[VIDEO] Tak jumpa duit punya pasal, mat motor kebulur sempat curi roti sebelum larikan 7 tabung derma di restoran Ulu Tiram


  • Tular
  • Isnin, 09 Okt 2023

Tangkap layar kegiatan mencuri tabung derma oleh seorang lelaki bertopi keledar di sebuah premis restoran dekat Ulu Tiram, Johor.

SEORANG lelaki bertopi keledar dirakam mencuri tujuh tabung sumbangan di sebuah restoran dekat Ulu Tiram, Johor pada Jumaat.

Perbuatan yang dirakamkan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) itu jelas memaparkan perbuatan individu berkenaan yang terlebih dahulu dilihat cuba mencuri wang di kaunter bayaran.

Namun, selepas gagal menemukan sebarang wang mahupun barangan berharga, dia kemudiannya terus melarikan tabung sumbangan di premis berkenaan.

Menggunakan lampu suluh daripada telefon pintarnya, kegiatan itu tidak disedari mana-mana pihak dengan kejadian terbabit dipercayai berlaku pada lewat malam.

Dalam pada itu, sebelum beredar dari restoran itu, si pelaku kelihatan turut membawa beberapa roti bersamanya dan ia nyata mengundang kecaman di laman media.

Perkongsian dimuat naik pada Ahad itu turut meminta jasa ramai agar video terbabit disebarkan supaya pencuri tersebut dapat ditangkap segera.

"Restoran Alkhir Bersaudara Sungai Tiram Batu 14, Johor kena pecah masuk, minta tularkan sebab tujuh tabung semua dia kebas," tulisnya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihaknya sedang memburu suspek lelaki yang dilihat dalam video tersebut selepas menerima laporan daripada seorang warga tempatan berusia 57 tahun.

Katanya, hasil siasatan mendapati suspek mencuri lima tabung berisi wang derma dianggarkan sebanyak RM300.

Menurut beliau, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung suspek boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintendan Hapizee Zulkarnain Md Puzi di talian 012- 7532276 atau 07-3864222," ujarnya dalam satu kenyataan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram