[VIDEO] Licik atur pelan sebelum curi, lelaki ambil wuduk sebelum pecah tabung masjid di Kedah


  • Tular
  • Jumaat, 03 Nov 2023

Tangkap layar seorang lelaki melakukan kegiatan kecurian di Masjid Parit Nibong.

SEORANG lelaki disyaki mencuri wang yang berada di dalam tabung masjid dalam kejadian dipercayai berlaku di Masjid Parit Nibong, Bandar Baharu, Kedah.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan, seorang lelaki datang ke masjid dengan menaiki kereta jenis Proton Satria berwarna merah yang diparkir di pintu masuk masjid.

Pada awalnya, suspek memecah masuk pintu belakang masjid bagi mengelak kehadirannya dapat dikesan sebelum melakukan kegiatan kecurian.

Ketika melihat aksi pelaku menerusi rakaman CCTV, penduduk terhibur apabila pelaku memilih untuk memulakan kegiatan tidak bermoralnya dengan mengambil wuduk di bahagian luar masjid terlebih dahulu.

Selepas itu, rakaman menunjukkan pelaku mulai masuk ke dalam ruangan masjid dan mengumpil tabung dengan menggunakan peralatan seperti besi.

Hanya dalam beberapa saat, pelaku mampu membuka tabung yang terletak berhampiran dinding masjid itu.

"Uish boleh bukalah, orang lama mencuri ini, nampak RM5 ada, RM20 pun ada dia ambil," kata salah seorang penduduk menerusi rakaman terbabit.

Malah, rakaman itu turut menunjukkan gelagat suspek meninjau keadaan sekeliling bagi memastikan tiada orang memerhatikan kegiatannya.

Selepas itu, suspek keluar daripada masjid dan pergi ke arah keretanya untuk mengambil peralatan lain bagi meneruskan kegiatan kecurian pada tabung yang berbeza.

Rakaman menunjukkan, dia menggunakan dawai pula sebagai alat untuk membuka tabung yang berada di atas kerusi.

Ketika berjaya membuka pintu tabung, suspek dilihat memasukkan duit yang dicuri ke dalam poket seluarnya.

Rakaman turut menunjukkan, pelaku menutup rapat pintu masjid ketika melakukan kecurian bagi mengelak adanya individu lain yang memasuki ruangan masjid.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet risau dengan kes kecurian yang semakin berleluasa.

"Muka dah terpampang, buat laporan polis terus, biar polis teruskan siasatan," kata Mohd Azmi.

"Badan nampak sihat, ada kudrat, pun sibuk mencuri," kata Siti Azahana.

Bagaimanapun, setakat ini, belum ada kenyataan daripada pihak berkuasa mengenai isu ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram