[VIDEO] Wang daftar tanah hampir RM30,000 lesap, kereta BMW kena pecah masuk siang buta


  • Benua
  • Selasa, 24 Okt 2023

Tangkap layar video tular memaparkan suspek memecahkan tingkap cermin kereta tersebut dan membawa keluar bungkusan berwarna kuning dipercayai mengandungi wang tunai bernilai puluhan ribu ringgit. — Agensi

SATU kejadian menggemparkan berlaku di Bengaluru, India selepas dua lelaki yang menaiki motosikal bertindak memecahkan pintu cermin sebuah kereta sebelum membawa lari wang tunai bernilai puluhan ribu ringgit.

Insiden yang berlaku pada Jumaat lalu ketika waktu siang itu dirakam menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi sebelum tular di media sosial.

Dalam kejadian yang berlaku berhampiran pejabat pendaftar di Sompura, Sarjapur dekat bandar tersebut, kedua-dua lelaki berkenaan dipercayai berjaya membawa lari wang tunai berjumlah 1.4 juta rupee (RM29,000).

Menerusi video klip terbabit, seorang lelaki dilihat sedang menunggu di motosikal, manakala seorang lagi didapati memecahkan tingkap cermin di bahagian pemandu kenderaan jenis BMW yang sedang diparkir di lokasi.

Suspek turut dipaparkan mengeluarkan satu bungkusan berwarna kuning dipercayai mengandungi wang tunai terbabit.

Ketika kejadian, beberapa orang awam dilihat turut berada berdekatan lokasi dengan keadaan trafik di jalan berhampiran didapati sibuk.

Menurut laporan Indian Express, kereta mewah itu dilaporkan milik seorang penduduk di bandar tersebut yang dikenali sebagai Mohan Babu.

Difahamkan, wang yang dicuri dalam kejadian bertujuan untuk digunakan bagi pendaftaran tanah di sebuah kampung dekat Bengaluru.

Berdasarkan maklumat diperoleh, kenderaan itu diletakkan di kawasan tersebut pada sekitar pukul 1.30 petang dan insiden kecurian berkenaan hanya disedari selepas pemiliknya pulang semula ke kereta kira-kira sejam kemudian.

Kes tersebut dilaporkan masih dalam siasatan pihak polis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram