[VIDEO] Penduduk hanya mampu bawa dokumen penting, kawasan sekitar Bangi dilanda banjir kilat lagi


  • 112
  • Ahad, 05 Nov 2023

Kerja pemindahan mangsa banjir di Kampung Bangi Lama dilaksanakan oleh BBP Bangi, Kajang dan Semenyih sejak awal pagi Ahad.

HUJAN lebat yang berterusan sejak Sabtu menyebabkan beberapa kawasan di Bangi dan Semenyih, Selangor dilanda banjir kilat.

Susulan itu, lebih 150 penduduk di sekitar lokasi tersebut dipindahkan ke kawasan yang lebih selamat sehingga pukul 7.30 pagi, Ahad.

Dua kawasan dikenal pasti terjejas banjir setakat ini termasuk di di Jalan Semenyih Indah 16, Taman Semenyih Indah, Semenyih dan Kampung Bangi Lama, Bangi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, operasi memindahkan mangsa dimulakan sejurus selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada MERS999 pada pukul 4.30 pagi, Ahad.

"Di Taman Semenyih Lama, sebanyak 14 rumah didiami 14 keluarga terdiri daripada 50 orang dinaiki air setinggi kira-kira lima kaki (1.5 meter).

"Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semenyih digerakkan ke lokasi untuk operasi memindahkan kesemua mangsa ke tempat selamat," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Sementara itu, Ahmad Mukhlis memaklumkan, BBP Bangi, Kajang dan Semenyih pula membantu memindahkan penduduk yang terjejas banjir di Kampung Bangi Lama.

Ujarnya, pasukan bomba membantu memindahkan kira-kira 50 mangsa daripada 10 keluarga selepas 10 kediaman di situ dinaiki air separas pinggang.

"Berdasarkan pemerhatian, pihak bomba mendapati trend air menunjukkan penurunan, namun pasukan penyelamat akan terus bersedia untuk sebarang kemungkinan," jelas beliau.

WhatsApp Image 2023-11-05 at 08.39.11

Keadaan salah sebuah rumah penduduk yang ditenggelami air. — Facebook/Pocik Hassin Hussin

Dalam pada itu, luah seorang pengguna Facebook yang juga mangsa banjir, Putra Indra Kayangan, dia hanya sempat membawa barangan penting miliknya sebelum menyelamatkan diri setelah kediamannya ditenggelami air.

"Dugaan datang lagi pada pukul 4.30 pagi Ahad, selepas hujan lebat semalaman, kini banjir lagi Kampung Bangi dan Pekan Bangi Lama.

"Alhamdulillah sempat keluarkan kereta dan membawa dokumen penting.

"Semoga rumah dan kucing-kucing yang ditinggalkan selamat dalam lindungan Rahmat Kasih Sayang ALLAH," tulisnya pada Ahad. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram