SEORANG pemandu berjaya diselamatkan tiga anggota polis selepas kereta yang dipandu dilaporkan hampir tenggelam ekoran banjir kilat yang berlaku di terowong Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur pada petang Jumaat.
Dalam kejadian berlaku kira-kira pukul 6 petang itu, tiga anggota berkenaan difahamkan bertugas mengawal lalu lintas di beberapa laluan sekitar ibu negara yang ditenggelami air.
Ketika sedang bertugas, anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur itu terlihat sebuah kenderaan MPV jenis Nissan X-Trail dalam keadaan terapung di lokasi kejadian dengan pemandunya masih di dalam kenderaan.
Timbalan Ketua JSPT Kuala Lumpur, Superintendan Zulkafli Chek Lah berkata, melihat keadaan itu, salah seorang anggota lantas terjun ke dalam air bagi menyelamatkan mangsa.
"Air naik kira-kira pukul 6 petang tadi di kawasan Jalan Chan Sow Lin menghala ke Jalan Pudu menyebabkan kenderaan dipandu seorang lelaki tenggelam.
"Tiga anggota berkenaan Koperal Syed Syafiq Syed Halim, Lans Koperal Muhammad Afizul Ismail dan Lans Koperal Shahrip Kamaruzaman bertindak pantas menyelamatkan mangsa," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya, mangsa berusia 27 tahun itu pada mulanya tidak dapat membuka pintu bahagian pemandu yang sudah ditenggelami air.
"Namun, lelaki itu berjaya keluar melalui pintu penumpang belakang yang masih terapung beberapa minit kemudian.
"Mangsa kemudian dibawa ke tempat selamat dengan bantuan anggota terbabit," katanya.
Tiada sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dan orang ramai dinasihatkan sentiasa berwaspada dalam bencana banjir kilat yang boleh berlaku pada bila-bila masa memandangkan musim hujan ketika ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram