[VIDEO] Banjir kilat di MRR2 punca trafik sesak


  • Tular
  • Rabu, 18 Okt 2023

Keadaan jalan raya dan kawasan sekitar yang dinaiki air ketika hujan lebat di MRR2 pada Rabu.

PENGGUNA jalan raya berdepan detik-detik cemas ketika banjir kilat yang berlaku di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran Zoo Negara dan Kampung Pasir, Ulu Kelang ke arah Ampang, Selangor susulan hujan lebat pada Rabu petang.

Menerusi hantaran yang dikongsikan di Facebook Traffic Info Crew, banjir kilat berpunca daripada hujan lebat yang berterusan sehingga pukul 7.30 malam menyebabkan kesesakan lalu lintas.

Berdasarkan informasi yang dikongsikan itu juga, difahamkan kesesakan berlaku di semua arah keluar dari Pusat Bandaraya ekoran jalan yang padat dengan kenderaan di sekitar Lembah Klang itu.

Dalam video sama, kelihatan paras air yang naik sehingga paras lutut menyebabkan kenderaan kecil tidak dapat melalui laluan tersebut.

Bagaimanapun, masih belum ada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa berhubung kejadian itu setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram