Agensi kerajaan diarahkan rancang teliti, siap siaga hadapi banjir di Pantai Timur


  • Primer
  • Selasa, 10 Okt 2023

Fadillah Yusof arahkan semua agensi kerajaan rancang persediaan banjir khususnya di Kelantan. — Bernama

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mengarahkan semua agensi kerajaan melakukan perancangan teliti dan siap siaga bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) di Pantai Timur.

Beliau berkata, perkara itu susulan MTL ng akan menyebabkan berlakunya bencana banjir di Pantai Timur, khususnya Kelantan.

"Pastikan kita bersiap siaga bukan sahaja pasukan keselamatan, tetapi semua agensi terlibat.

"Pertama, kalau berlaku banjir di mana pusat pemindahan sementara (PPS), apakah bantuan yang perlu disediakan, termasuklah kemudahan pengangkutan untuk mengangkat dan memindahkan orang dari tempat banjir ke PPS, makanan dan semua logistik itu perlu siap siaga,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Ketua-ketua Jabatan dan Agensi Persekutuan Negeri Kelantan, di Kota Bharu, Kelantan pada Selasa.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pembangunan Negeri Kelantan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) (PPNK ICU JPM) Jasri Kasim.

Terdahulu dalam ucapannya, Fadillah berkata, penekanan harus diberikan kepada perancangan persediaan dalam menghadapi musim bencana yang mendatang.

Tambahnya lagi, keselamatan serta kebajikan mangsa perlu dititik beratkan selain kesiapsiagaan semua agensi, khususnya pemberi bantuan dalam menguruskan sumber dan logistik.

Fadillah berkata, semua jabatan dan agensi, perlu memberikan sepenuh sokongan kepada agensi yang terlibat secara langsung seperti Pejabat Daerah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan lain-lain pasukan keselamatan yang terlibat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram