Fenomena air pasang 4 kawasan risiko di Kedah, ribut kuat landa Kodiang


  • 112
  • Ahad, 29 Okt 2023

Tangkap layar kejadian angin kencang di Kampung Pida 4, Kodiang, Kedah pada Ahad.

ANGKATAN Pertahanan Awam (APM) Kedah mengenal pasti empat kawasan berisiko berlaku air pasang besar bermula pada Ahad iaitu di sepanjang pantai Kuala Kedah, Kota Kuala Muda, Kuala Yan dan Kuala Jerlun.

Pengarah APM Kedah Leftenan Kolonel (PA), Zairil Anuar Zulmuji berkata, fenomena itu boleh mengakibatkan paras ombak mencecah tiga meter dan lebih buruk menyebabkan banjir di kawasan rendah jika berlaku hujan lebat.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai yang mendiami pesisir pantai atau melakukan aktiviti riadah di kawasan itu agar berhati-hati dengan perubahan paras air laut.

"Air pasang berlaku sekitar pukul 12.47 tengah malam Sabtu, pada isnin pukul 1.16 pagi dan Selasa pada pukul 1.45 pagi dan dijangka paras ombak boleh meningkat hingga tiga meter atau lebih tinggi lagi dari kebiasaan dan membahayakan bot kecil," katanya kepada pemberita di Alor Setar, pada Ahad.

Dalam pada itu, Zairil Anuar berkata, pihaknya sentiasa bersiap sedia dengan membuat pemantauan di kawasan berisiko dan akan mengambil tindakan sewajarnya jika keadaan membahayakan orang ramai.

Menurutnya seramai 1,100 anggota APM selain aset termasuk bot dan kenderaan darat diletakkan dalam keadaan siap siaga.

"Jika berlaku kenaikan air yang mendadak, orang ramai diingatkan bersedia untuk pindah ke tempat selamat atau pindah ke pusat pemindahan sementara, jangan biarkan anak anak bermain air, peka kepada amaran pihak berwajib dan jaga keselamatan keluarga,” katanya.

Sementara itu, tular video menunjukkan kejadian ribut kuat melanda Kampung Pida 4, Kodiang, Kedah.

Dalam rakaman itu, seorang lelaki melihat keadaan angin kencang yang berlaku di luar rumahnya.

Pada masa yang sama, turut dilihat, pokok-pokok dan kerusi di kawasan rumahnya terbang ke arah lain.

Atap rumahnya dan beberapa rumah penduduk di kawasan itu turut rosak akibat cuaca buruk tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram