Peruntukan RM11.8 bilion laksana 33 Projek Tebatan Banjir Berkeutamaan Tinggi


  • Primer
  • Jumaat, 13 Okt 2023

Situasi ketika banjir melanda kawasan Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor pada tahun lalu. — Gambar Hiasan

SEBANYAK 33 Projek Tebatan Banjir Berkeutamaan Tinggi akan mula dilaksanakan pada tahun hadapan dengan kos melibatkan RM11.8 bilion, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Parlimen pada Jumaat.

Menurut beliau, antara projek terlibat termasuklah Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Lembangan Sungai Pahang, Pahang; Sungai Langat Fasa 2, Selangor; Sungai Jelai, Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan Sungai Likas, Kota Kinabalu, Sabah.

"Selain itu, Kuching Fasa 2, Sarawak; Baling Fasa 2, Kedah dan Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu, Sungai Kelantan Fasa 2, Kelantan," katanya.

Beliau menambah, Surat Setuju Terima (SST) bagi 24 projek dijangka dikeluarkan bermula Oktober 2023 melibatkan kos keseluruhan RM5.1 bilion, manakala bakinya akan dikeluarkan SST pada suku tahun pertama 2024.

Ujarnya lagi, bagi mengurangkan risiko air bertakung dan banjir kilat, RM20 juta disediakan kepada 150 pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk melaksanakan kerja-kerja pembaikan parit dan longkang yang rosak.

"Bagi mengekang tragedi tanah runtuh seperti yang berlaku di Batang Kali, Selangor lewat tahun lalu, kerajaan menyediakan RM563 juta bagi pembaikan cerun seluruh negara termasuk untuk program pemantauan, pencegahan dan pelaporan serta amaran awal melibatkan lebih 2,000 cerun yang berisiko tinggi," jelasnya.

Untuk rekod, Belanjawan 2024 memperuntukkan sejumlah RM393.8 bilion dengan RM303.8 bilion bagi perbelanjaan mengurus manakala RM90 bilion untuk perbelanjaan pembangunan, termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka.

Belanjawan kali ini mengandungi perancangan dan komitmen kerajaan bagi hala tuju negara pada tahun depan mengambil kira cabaran ekonomi semasa serta kesejahteraan rakyat keseluruhan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram