SEORANG suami dilaporkan maut setelah motosikal ditungganginya hilang kawalan selepas telekung dipakai isteri mangsa dipercayai tersangkut pada tayar belakang di Jalan Juasseh Terusan Seberang, Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd Ghani berkata, kemalangan itu membabitkan sebuah motosikal jenis Yamaha 135 LC ditunggang lelaki berusia 64 tahun, sementara isterinya, 60, membonceng di belakang.
Menurutnya, dalam kejadian pukul 7 malam itu, pasangan tersebut dalam perjalanan ke masjid bagi menunaikan solat maghrib secara berjemaah.
"Apabila sampai di lokasi, telekung pembonceng dipercayai termasuk di bahagian tayar belakang lalu motosikal tersebut hilang kawalan sebelum terjatuh.
"Akibat kemalangan tersebut, kedua-dua penunggang dan pembonceng dibawa ke Hospital Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah untuk menerima rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Ujar Amran, Unit Forensik HTAN Kuala Pilah sekitar pukul 3.53 pagi Jumaat memaklumkan bahawa penunggang motosikal itu meninggal dunia semasa menerima rawatan di zon merah.
"Pembonceng mengalami kecederaan di muka, bibir berjahit dan patah beberapa batang gigi," katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram