[VIDEO] Tak puas hati untung tak sama rata, pesara wanita kena langgar, ditikam 15 kali sebelum dibiar dalam longkang di Hulu Terengganu


  • 112
  • Rabu, 01 Nov 2023

Mangsa yang berusia 65 tahun berasal dari Kuala Berang itu disyaki dilanggar sebelum ditikam di badan oleh seorang wanita dipercayai rakan kongsi perniagaannya. — Facebook/GanuLensa

SEORANG wanita warga emas ditemukan maut dengan 15 kesan tikaman di dalam longkang di tepi jalan besar berhadapan Pejabat Agama Hulu Terengganu di Kuala Berang dekat Hulu Terengganu, Terengganu pada Rabu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, mayat mangsa ditemukan pengawal keselamatan Pejabat Agama Hulu Terengganu yang kemudiannya menghubungi pihak polis pukul 4.35 pagi.

Beliau berkata, mangsa yang berusia 65 tahun berasal dari Kuala Berang dan juga pesara kerajaan itu disyaki dilanggar sebelum ditikam di badan oleh seorang wanita dipercayai rakan kongsi perniagaannya yang bekerja sebagai tukang jahit.

"Siasatan awal mendapati mangsa dan suspek yang berusia 35 tahun menaiki kereta untuk ke suatu tempat bagi membincangkan hal perniagaan.

Bagaimanapun berlaku pertengkaran menyebabkan mangsa keluar daripada kereta sebelum dilanggar oleh suspek wanita yang menaiki kereta Honda Jazz," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, pada Rabu.

Mazli berkata, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perasaan tidak puas hati antara mangsa dan suspek berhubung soal pembahagian keuntungan.

Menurut beliau, suspek telah ditahan di kediamannya di Wakaf Tapai dekat Marang kira-kira pukul 11 pagi Rabu dan pisau pemotong daging yang disyaki digunakan dalam kejadian itu turut ditemukan berhampiran rumah mangsa.

"Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk proses pengecaman dan bedah siasat kira-kira pukul 2.30 petang Rabu.

Selain itu polis turut menahan sepasang suami isteri untuk membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan memohon perintah reman ke atas suspek di Mahkamah Kuala Terengganu, pada Khamis. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram