[VIDEO] Ayah, 2 anak terkorban lepas bertembung lori terbabas dekat Cheneh


  • 112
  • Jumaat, 15 Sep 2023

Keadaan kereta mangsa selepas bertembung dengan lori terbabit di jalan berhampiran Hentian Sebelah Bandar Cheneh Baru, di Kemaman, Terengganu pada Jumaat. — Facebook/OrangAwam

SEORANG ayah bersama dua anaknya maut selepas kereta dinaiki bertembung dengan sebuah lori yang dipercayai terbabas dalam satu kemalangan berhampiran Hentian Sebelah Bandar Cheneh Baru, di Kemaman, Terengganu pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, ketika kejadian, kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Naza Citra dipandu mangsa sedang dalam perjalanan dari Mak Chili menghala ke Cheneh.

Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi sekitar pukul 2.05 petang, kereta tersebut bertembung dengan lori terbabit yang dipercayai hilang kawalan sehingga memasuki laluan bertentangan.

"Mereka yang maut iaitu, pemandu MPV Naza CItra yang tersepit di tempat duduk, manakala dua lagi mangsa iaitu penumpang kenderaan disahkan meninggal di Hospital Kemaman.

"Ketika kejadian, lori terbabit dalam perjalanan dari arah Mak Lagam menghala ke Ladang Perwira Cheneh," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Hanyan berkata, kesemua identiti mangsa bagaimanapun belum diperoleh.

376029472_331015765971541_3624870930388455628_n

Mangsa bersama dua anak lelakinya dilaporkan maut manakala isteri dan seorang anak perempuannya difahamkan cedera serta sedang dirawat di Hospital Kuantan, Pahang. — Facebook

Bagaimanapun, difahamkan dua lagi ahli keluarga yang turut berada di dalam kenderaan sama iaitu isterinya yang dikenali sebagai Sazwa Harun dan seorang lagi anak perempuan pasangan tersebut dilaporkan cedera serta sedang dirawat di hospital Kuantan, Pahang.

Anak perempuan mangsa yang sedang dirawat itu dipercayai sedang dalam keadaan kritikal dan ditidurkan.

Pada masa sama, Hanyan berkata, pihaknya menahan pemandu lori terbabit untuk menjalani ujian saringan air kencing dan seterusnya dibawa ke Mahkamah Kemaman pada Sabtu untuk mendapat perintah tahanan reman.

Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, di Facebook, beberapa kenalan keluarga mangsa dilihat melahirkan ucapan takziah ekoran kemalangan yang meragut nyawa itu.

"Salam takziah buat Sazwa Harun di atas kehilangan suami dan anak anak tercinta. Mangsa terlibat dalam kemalangan jalanraya di Cheneh. Terkejut dan sedih sebab baru semalam tegur di Kedai. Satu keluar ni baik sangat, " tulis WAN EBBY.

"Kawan baru kehilangan suami dan anak kemalangan dekat Cheneh. Sazwa masih di red zone..Semoga ALLAH permudahkan segala urusan mu. Pada yang kenal minta tolong doakan yang terbaik untuk mereka. Amin," tulis Emma Richarxson. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram