SEPASANG suami isteri maut terlibat dalam kemalangan ketika perjalanan pulang menghadiri sambutan ulang tahun kelahiran ahli keluarga di Jalan Pintas dekat pusingan U, Padimas Point, Sabah, pada petang Ahad.
Dalam kejadian pukul 6.50 petang itu, pasangan berusia lingkungan 60 tahun yang tersepit di tempat duduk kereta Proton Saga disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, kemalangan membabitkan sebuah trak pikap dan kereta jenis Proton Saga.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati pemandu pikap dari arah Kota Kinabalu menuju ke Donggongon disyaki merempuh Proton Saga yang datang dari arah Donggongon dan dipercayai membuat pusingan U.
"Akibat rempuhan itu, pemandu dan penumpang Proton Saga disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Queen Elizabeth (HQE).
"Pemandu trak pikap parah dan dihantar ke HQE Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Menurutnya, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke HQE I, Kota Kinabalu, Sabah untuk bedah siasat.
"Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
"Pihak polis meminta saksi kejadian untuk tampil memberikan maklumat bagi membantu siasatan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram