[VIDEO] Tiga sekeluarga sempat gembira makan bersama sebelum rentung dalam tragedi kebakaran di Sungai Petani


  • 112
  • Isnin, 18 Sep 2023

Keadaan kebakaran yang berlaku di lapan unit kedai dekat Jalan Sungai Emas Kota Kuala Muda, Sungai Petani, Kedah pada awal pagi Isnin. — Facebook/EiraOmar

TIGA individu ditemukan rentung dalam kebakaran membabitkan lapan unit rumah kedai di Jalan Sungai Emas Kota Kuala Muda dekat Sungai Petani, Kedah, pada awal pagi Isnin.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Awang Hidzel Awang Bujang berkata, mangsa pertama dijumpai pada pukul 3.19 pagi manakala mangsa kedua pada pukul 6 pagi.

Bagaimanapun, beliau berkata, identiti kedua-dua mangsa berkenaan masih belum dikenal pasti.

"Panggilan kecemasan berhubung kebakaran diterima pada pukul 1.12 pagi dan anggota serta jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tikam Batu dan BBP Sungai Petani digerak ke lokasi kejadian dibantu pasukan BBP Kuala Muda, Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan.

Awang Hidzel berkata, kebakaran melibatkan lapan unit rumah kedai dua tingkat kelas B dengan setiap satu unit berkeluasan 20 x 80 kaki persegi.

Katanya, kebakaran dapat dikawal pada 3.08 pagi dan mangsa yang rentung telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Dilaporkan, antara premis perniagaan terlibat dalam kebakaran tersebut adalah kedai runcit, kedai perabot, kedai serbaneka, kedai membaiki perkakas elektrik dan kedai jahit.

Sementara itu, Awang Hidzel berkata, satu lagi mayat yang merupakan mangsa ketiga dalam kebakaran itu ditemukan di bawah sisa runtuhan bangunan terbakar pada pukul 10.15 pagi.

WhatsApp Image 2023-09-18 at 18.10.47

Kebakaran itu berlaku dipercayai bermula dari sebuah premis menjual pakaian sekolah sebelum merebak ke premis lain. — Facebook/Ariana Rose

"Mayat mangsa ketiga ditemukan di bawah ruangan tangga tidak jauh dari penemuan mayat mangsa kedua. Mayat mangsa pertama ditemukan di ruang tamu manakala mayat mangsa kedua dijumpai kira-kira tiga meter dari situ dan ditimpa runtuhan pintu...kesemuanya berhampiran dengan pintu keluar," katanya.

Beliau berkata, kebakaran itu berlaku dipercayai bermula dari sebuah premis menjual pakaian sekolah sebelum merebak ke premis lain manakala punca kejadian masih dalam siasatan.

"Pasukan penyelamat berdepan kesukaran kerana bahagian belakang bangunan tersebut tidak mempunyai akses untuk masuk dan pemadaman hanya boleh dilakukan dari bahagian hadapan bangunan.

"Tambahan pula bangunan ini dipercayai berusia lebih 60 tahun, struktur atas daripada kayu dan bawah daripada batu-bata...usaha mencari juga mengambil masa kerana perlu mengutamakan keselamatan anggota penyelamat," katanya.

Katanya, kesemua mangsa terdiri daripada dua wanita dan seorang lelaki, namun pihaknya masih mengenal pasti hubungan antara kesemua mangsa.

Mangsa yang maut ialah Yong Swee Lan, 92, Lee Chew Fong, 61, dan mangsa lelaki Lim Yang Kooi, 66.

Sementara itu, keluarga terbabit dipercayai sempat makan malam bersama keluarga di Bertam, Pulau Pinang sebelum tragedi itu.

Saudara mangsa, Linda Yee, 48, berkata, kebiasaannya sepupunya, Lee Chew Fong, 61, bersama suaminya, Lim Yang Kooi, 66, dan ibu mereka Yong Swee Lan, 92, akan bermalam di rumah mereka di Bertam, tetapi kali ini datang awal ke premis tersebut selepas makan malam.

Linda berkata, difahamkan mereka datang awal ke premis itu untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas dan membuat persiapan berniaga di pasar pagi di situ.

"Keluarga sepupu saya ini tinggal di Bertam selepas membeli rumah di sana sejak setahun lepas, mereka hanya pulang ke rumah kedai itu untuk berniaga pakaian dan kelengkapan lain...ibu saudara saya pula sudah uzur dan bergerak menggunakan tongkat.

"Mereka kelihatan gembira ketika makan bersama anggota keluarga yang lain. Saya terima berita dalam pukul 6 pagi ini ada kebakaran di pekan Kota Kuala Muda. Saya agak mungkin keluarga sendiri dan bila saya tengok alamat saya dah tahu," katanya kepada pemberita pada Isnin.

Dalam pada itu, pemilik sebuah lagi premis yang terlibat kebakaran tersebut, Azizah Jaafar, 70, berkata, dia terkejut apabila mengetahui kedainya turut musnah dalam kejadian itu.

"Kedai tersebut dibeli arwah suami saya kira-kira 20 tahun lepas dan disewakan kepada peniaga perabot dengan kadar RM400 sebulan.

"Terkejut juga bila tahu kedai terbakar, tetapi apa boleh buat, masa saya sampai api sedang marak membakar tingkat atas rumah kedai itu," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

mangsa, rentung, kebakaran, bomba, Kota Kuala Muda