WARGA maya yang menonton beberapa video tular yang memaparkan seorang pegawai polis iaitu Inspektor Sheila meninggikan suara kepada pegawai polis lain dan orang awam pastinya terlihat individu tersebut turut mengeluarkan telefon pintar dalam setiap kejadian.
Sheila Sharon Steven Kumar, 35, berkata, dia yang bertugas sebagai pegawai penyiasat perlu berbuat demikian kerana perbuatan tersebut adalah untuk membela dirinya jika sudut pandang individu lain adalah berbeza daripadanya.
Menurut Sheila lagi, rakaman itu juga boleh dijadikan bahan bukti selain bagi mengelakkan ia dimanipulasi oleh pihak tertentu.
Bagaimanapun, dia tidak akan memuat naik videonya dalam media sosial, walaupun video yang memaparkan dirinya tular kerana katanya, masyarakat tidak boleh menghakimi perbuatannya dari sebelah pihak semata-mata.
"Setiap kali insiden berlaku saya akan keluarkan phone saya, jadi bila pihak polis buat soal siasat, saya boleh menjawab. Saya tidak boleh bercakap atas angin sahaja.
"Orang tidak faham sebab Inspektor Sheila keluarkan phone, apa mereka tahu? Saya pegawai atau mereka? Berapa kali saya turun naik mahkamah tuduh orang (lakukan jenayah)," katanya dalam temu bual eksklusif bersama Majoriti di Menara Star, Petaling Jaya, Selangor pada Khamis.
Sheila ketika ditemui Majoriti di Menara Star, Petaling Jaya, Selangor pada Khamis.
Media sebelum ini melaporkan Sheila mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan melakukan ugutan dan mengaibkan masing-masing mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Jenayah 1, Selayang, Selangor.
Dia turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengugut, mengaibkan dan memalukan seorang pegawai polis.
Dalam pada itu, Sheila turut menyelar kenyataan segelintir pihak yang mendakwa dia mengalami kemurungan akibat tekanan bekerja sebagai pegawai polis.
Katanya, pihak terbabit tidak sepatutnya hanya menilainya hanya berdasarkan beberapa video yang tular di media sosial.
"Saya pantang orang cakap pasal depression. (Kepada) orang yang nak cakap saya tertekan, biarkan mereka. Mereka siapa, doktor ke? Nak diagnose saya? Jangan sampai saya diagnose mereka pula.
"Jangan cepat sergah dan komen, jaga hal sendiri dulu. Nilai dulu diri sendiri, pernah jadi pegawai polis? Kalau pernah, cakap. Kalau orang awam, bawa bertenang. Biar hakim yang tentukan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram