TIDAK mahu golongan wanita dilihat lemah, Inspektor Sheila nekad melawan stereotaip masyarakat untuk tampil kuat dan tegas apabila berdepan golongan lelaki.
Sheila Sharon Steven Kumar, 35, yang menceburi dunia kepolisan sejak tahun 2016 berkata, masyarakat bertanggungjawab dalam membentuk stigma seolah-olah golongan Hawa perlu tampak lemah dan ayu sepanjang masa.
Bagaimanapun, anak sulung daripada enam beradik itu berasakan bahawa wanita boleh berdiri sama tinggi atau lebih baik daripada lelaki dengan mempunyai pendidikan yang sebaiknya.
"Saya sarankan wanita untuk tidak hanya belajar hingga ke peringkat Ijazah Sarjana Muda, tapi sebaliknya meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi lagi. Jadikan anda sebagai wanita berkerjaya yang mampu berdiri atas kaki sendiri.
"Kalau lelaki tiada pun, duit (pendapatan) masih ada. Kalau wanita di Malaysia ada persepsi begini, lelaki yang akan cari perempuan, bukan sebaliknya," katanya dalam satu temu bual eksklusif bersama Majoriti di Menara Star, Petaling Jaya, Selangor pada Khamis.
Sheila mahu golongan wanita tampil kuat, sekali gus melawan stigma masyarakat bahawa golongan Hawa sentiasa dilihat lemah oleh lelaki.
Selain itu, Sheila berkata, kebanyakan anggota yang pernah dipimpinnya adalah lelaki, malah tidak menafikan kemungkinan ada pihak yang kurang senang atau gemar dengan ketegasannya.
Bagaimanapun, berbekalkan pengalamannya dalam dunia kepolisan selama tujuh tahun, dia percaya wanita perlu tampil kuat terutamanya melibatkan hal-hal keganasan rumah tangga.
"Saya rasa semua perempuan perlu bersifat begini, sama ada dalam hal rumah tangga lagi-lagi melibatkan keganasan rumah tangga. Kalau perempuan itu buat laporan polis (akibat dipukul suami), dia yang akan meringkuk dalam penjara.
"Kalau mana-mana perempuan ada masalah (dengan lelaki), beritahu saya, saya akan uruskan mereka kerana saya sudah biasa berurusan dengan mereka dalam pasukan polis," katanya yang sebelum ini bertugas sebagai pengawai penyiasat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.
Ketika ini, difahamkan Sheila ditahan tugas sementara menunggu perbicaraan kes berhubung dua pertuduhan melakukan ugutan dan mengaibkan masing-masing mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Jenayah 1, Selayang, Selangor pada Jun lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram