[VIDEO] Peguam Inspektor Sheila kemuka bantahan, anggap alasan pertuduhan tiada asas dan remeh


Sheila berdepan tiga tuduhan membabitkan kesalahan mengugut dan mengaibkan kehormatan seorang anggota polis berpangkat lans koperal serta dua orang awam. — Bernama

PEGUAM mewakili Inspektor Sheila mengemukakan bantahan awal untuk membatalkan tiga tuduhan bagi pendakwaan berhubung kesalahan membabitkan perbuatan mengugut dan mengaibkan kehormatan seorang anggota polis berpangkat lans koperal.

M Manoharan yang mewakili Sheila atau nama penuhnya, Sheila Sharon Steven Kumar, 35, berkata, bantahan awal yang berkaitan isu perlembagaan itu dibuat atas alasan pertuduhan dikenakan terhadap anak guamnya itu adalah tidak berasas dan remeh.

Bantahan itu dikemukakan ketika proses sebutan kes di Mahkamah Majistret Selayang, Selangor, pada Isnin di hadapan Majistret Chai Guan Hock.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Anis Farhah Ahmad Hilmi memaklumkan kepada mahkamah, pihaknya menyerahkan sebahagian dokumen berkaitan kes ini kepada pihak pembelaan kecuali rakaman video.

Sheila didakwa mengugut M Silverkoomarie, 69, dengan niat untuk mendatangkan kegentaran kepada wanita warga emas di No 8, Jalan SG 1/1, Taman Sri Gombak, Selayang, Selangor pada pukul 12 tengah hari, 15 Jun lepas.

Mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, ia boleh membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pegawai polis wanita itu turut didakwa menghina kesopanan seorang lelaki, P Taneswaran, 31, di lokasi dan tarikh sama pada pukul 1 tengah hari dengan berkata, "You tengok badan you, gemuk, botak dan badak sumbu”.

Mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, kesalahan terbabit boleh membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Sementara itu, di hadapan Majistret Nur Hafizah Rajuni, Timbalan Pendakwa Raya Erneetha Kaur Beghwant Singh turut memaklumkan, pihak pendakwaan sudah menyerahkan sebahagian dokumen berkaitan kes kepada pihak pembelaan.

Di mahkamah itu, Sheila berdepan pertuduhan menyebut berkenaan pangkat lans koperal dengan cara tidak wajar kepada Lans Koperal Abdul Arif Farhan Abdul Razak, dengan maksud untuk mengaibkan kehormatannya di lokasi dan tarikh sama pada 1.25 tengah hari, mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Kedua-dua mahkamah menetapkan 22 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Ketika ditemui pemberita, Sheila berkata, dia mahu berkhidmat untuk masyarakat dan ingin kembali bertugas sebagai pegawai penyiasat di Bukit Aman, bagi membanteras kejahatan dan kes jenayah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram