[VIDEO] Cita-cita nak jadi peguam, Inspektor Sheila ketepikan impian, sahut cabaran ayah jadi polis


Walaupun tegas, Inspektor Sheila tetap disenangi rakan-rakan dan anak-anak buahnya ketika berkhidmat di IPD Petaling Jaya satu masa dahulu.

"SAYA seperti cermin, jika orang baik dengan saya, saya akan baik dengan mereka. Tapi orang kurang ajar dengan kita, terimalah akibatnya."

Demikian kata Inspektor Sheila atau nama sebenarnya Sheila Sharon Steven Kumar, 35, apabila disoal tentang perilakunya yang kononnya bersifat kurang ajar dan biadab.

Ia susulan beberapa video tular tentang dirinya pada Mei lalu yang dilihat sebagai kasar terhadap anggota polis berpangkat rendah daripadanya, mahupun kepada masyarakat awam.

Namun Sheila berkata, perilaku tegas itu bukanlah muncul ketika dia menjadi anggota polis pada 2016, sebaliknya ia dibentuk sejak kecil hasil didikan ayahnya yang juga merupakan seorang anggota polis.

"Karakter yang saya bawa ini bukannya dibuat baru-baru ini, tapi sejak zaman kanak-kanak. Kami sudah buat dibesarkan dengan cara tegas, jadi semua perlu dibuat dengan teratur.

"Selepas ibu meninggal dunia, ayah adalah satu-satunya tulang belakang keluarga yang mendidik dan membimbing kami. Jadi (bila) kami nampak ayah kuat, semua orang perlu kuat juga," katanya kepada Majoriti dalam temu bual eksklusif di Menara Star, Petaling Jaya, Selangor pada Khamis.

Selain itu, anak sulung daripada enam beradik itu turut menjadikan bapanya sebagai sumber inspirasi untuk meneruskan kerjaya dalam bidang kepolisan walaupun cita-cita asalnya ingin menjadi seorang peguam.

Menurut Sheila, pada awalnya, dia tidak mahu menerima cadangan tersebut, namun selepas melihat komitmen ayahnya yang telah berkhidmat selama hampir 40 tahun dengan unit beruniform itu, dia membuat keputusan untuk menyahut cabaran berkenaan.

file7r1xpvcdg4l11fv45lnj

Sheila ketika ditemui oleh Majoriti di Menara Star, Petaling Jaya pada Khamis.

"Jadi bila ayah minta saya jadi pegawai polis, saya rasa tak ada life, tapi dia tetap suruh saya cuba. Saya sendiri melihat betapa sukarnya dia ingin melengkapkan tempoh bertugasnya hingga pencen, tapi nampak keikhlasanya menjalankan tugas.

"Apabila saya jadi pegawai polis baru tahu rasanya macam mana. Ia membuatkan kita menjadi manusia sempurna dari segi fizikal, mental, cara berfikir dan penyelesaian satu-satu perkara (kes)," katanya.

Mengulas lanjut tentang beberapa insiden tular mengenai dirinya yang didakwa berkelakuan biadab terhadap pegawai polis lain dan orang awam, Sheila berkata, tindakan tersebut bukanlah disebabkan dia mengalami tekanan perasaan akibat bebanan kerja.

Dia turut mengatakan bahawa ia hanyalah dakwaan tidak berasas daripada individu lain yang tidak mengenali dirinya secara lebih rapat.

"Apabila video itu tular, saya mendapat panggilan daripada anggota polis yang pernah berkhidmat dengan saya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya yang terkejut dengan video tersebut.

"Orang yang kenal saya tahu saya bukan begitu, saya akan jaga mereka macam kawan sendiri. Orang tidak kenal saya akan menilai hanya pada video-video itu. Tapi saya tidak mahu berkata apa-apa di media sosial, biar Tuhan yang tentukan," katanya.

Media sebelum ini melaporkan Sheila mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan melakukan ugutan dan mengaibkan, masing-masing mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Jenayah 1, Selayang, Selangor.

Dia turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengugut, mengaibkan dan memalukan seorang pegawai polis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram