[VIDEO] Ibu bapa didakwa leka biar anak berbasikal punca budak nyaris dirempuh kereta di Sepang


  • Tular
  • Isnin, 30 Okt 2023

Tangkap layar seorang kanak-kanak lelaki nyaris dirempuh kereta ketika bermain basikal di tengah laluan jalan raya.

KERIANGAN seorang kanak-kanak lelaki bermain basikal mengundang rasa cemas warganet apabila dia nyaris dirempuh sebuah kenderaan di Jalan Jenderam, Sepang, Selangor pada Ahad.

Dalam satu video tular berdurasi 34 saat itu memaparkan budak terbabit sedang mengayuh basikal hingga ke laluan jalan raya.

Sebuah kereta yang bergerak laju di laluan itu hampir merempuh kenak-kanak tersebut namun berjaya dielak oleh si pemandu yang sempat menekan brek ketika kejadian.

Walaupun terselamat daripada sebarang kemalangan, ia nyata satu situasi yang cukup berbahaya dengan pemantauan ibu bapa amat dititikberatkan dalam isu seperti itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, sepasukan polis daripada Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang ke lokasi kejadian di Kampung Semarang, Dengkil, kira-kira pukul 7 malam, pada Isnin.

Menurutnya, mangsa adalah seorang bayi lelaki bangsa Melayu berumur dua tahun yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik dan tinggal bersama ibu bapanya.

"Pihak polis telah ke tempat kejadian dan berjaya mengesan keluarga mangsa tersebut untuk siasatan lanjut.

"Jarak dari rumah ibu bapa berkenaan ke lokasi penemuan bayi itu adalah kira-kira 70 meter dari jalan besar.

"Bapa mangsa memang memantau (pergerakan) anaknya, tetapi dia tidak sempat mengejar anaknya itu kerana dia terlalu laju," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Jelas beliau, kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 3 (1) Akta Kanak-kanak 2001 atas kesalahan pengabaian kanak-kanak tanpa diawasi sehingga boleh membahayakan nyawa budak tersebut.

Jika sabit kesalahan, seorang boleh dihukum denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun.

"Dinasihatkan kepada orang ramai terutama golongan ibu bapa supaya lebih prihatin dan peka terhadap anak masing-masing ketika sedang melakukan sebarang aktiviti di luar rumah sehingga boleh memudaratkan nyawa seorang insan," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram