[VIDEO] Hizbut Tahrir 'buat hal' depan Mindef, Tok Mat jawab keperluan hantar tentera ke Palestin


  • Tular
  • Sabtu, 28 Okt 2023

Pertubuhan HTM mengadakan gerakan demonstrasi di depan bangunan Mindef, Kuala Lumpur pada Jumaat. — Facebook

KECOH apabila sekumpulan lelaki dirakam menjalankan satu gerakan demonstrasi aman di hadapan bangunan pejabat Kementerian Pertahanan Malaysia (Mindef) di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Mereka yang terdiri daripada Pertubuhan Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) itu menggesa agar Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjihad membantu pejuang Palestin di Gaza yang ketika ini teruk dibedil tentera Zionis.

Merupakan satu pertubuhan tidak berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS), beberapa negeri seperti Selangor, Johor dan Pahang telah mewartakan pengharaman terhadap pertubuhan tersebut kerana sudah difatwakan bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Membawa sepanduk dan bendera Palestin, pergerakan yang disertai lebih 50 orang itu meraih perhatian warganet di laman media.

Salah seorang ahli kumpulan gerakan itu, Hanzhalah Abu Amir turut berkongsi perkara tersebut di laman Facebook peribadinya.

"Seruan dan muhasabah kepada Angkatan Tentera Malaysia untuk bergerak berjihad ke Palestin.

"Ada dua kemuliaan menanti kalian di sana, mati syahid dan kemenangan," katanya.

Dalam pada itu, laporan media pada Khamis menjelaskan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan enggan mengambil tindakan secara bersendirian berhubung bantuan ketenteraan ke bumi Palestin.

"ATM akan mempertimbangkan apa jua keputusan yang akan dibuat oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan akan menilai sejauh mana komitmen yang akan diambil oleh kerajaan Malaysia terutamanya membabitkan Angkatan Tentera Malaysia

"Kita dah ada lebih 800 anggota tentera di Lubnan, kita ada juga beberapa pegawai yang masih bertugas di Somalia atau pun di negara-negara Afrika.

"Jadi sebagai negara yang menyertai misi pengaman PBB, kita akan tunggu dan lihat apa keputusan PBB sebelum menilai sama ada perlu ke Malaysia menyertai tentera pengaman ini atau pun tidak," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram