Tak semestinya kena ikut perang, 4 respons Menteri tanda solidariti Malaysia kepada Palestin


  • Massa
  • Ahad, 29 Okt 2023

Anwar Ibrahim ketika menghadiri Perhimpunan Malaysia Bersama Palestin di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

KONFLIK peperangan Palestin-Israel kini semakin meruncing dengan laporan akhbar harian kerap memaparkan berita kematian serta kemusnahan dialami penduduk di Gaza.

Desakan beberapa pihak di negara ini menggesa agar kerajaan Malaysia segera menghantar bantuan ketenteraan kepada Palestin bagi membantu rakyat di sana daripada dibedil serangan bom dan roket setiap hari.

Namun, tindakan itu nyata bukan satu keputusan yang mudah dengan beberapa perkara perlu diteliti untuk Malaysia menghantar bantuan ketenteraan ke Palestin.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mempertimbangkan apa jua keputusan yang akan dibuat oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan akan menilai sejauh mana komitmen yang akan diambil oleh kerajaan Malaysia.

Namun, beberapa gerakan solidariti sudah mula dijalankan oleh pihak kerajaan sebagai tanda protes terhadap kezaliman tentera Zionis.

Berikut merupakan empat langkah solidariti dilakukan menteri di bawah kerajaan Perpaduan yang amat menekankan keharmonian dan lantang bersuara berkenaan isu di Gaza.

annu

1. Perhimpunan Palestin - Anwar Ibrahim

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim lantang bersuara soal Palestin dalam 'Perhimpunan Malaysia Bersama Palestin' yang diadakan di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Selasa.

Gerakan besar-besaran itu menyasarkan tiga objektif utama iaitu untuk menghentikan peperangan di Palestin, menghentikan tindakan membunuh kanak-kanak, wanita dan kesatuan suara umat Islam di seluruh dunia.

Beliau yang baru tiba di tanah air selepas berkelana di beberapa negara Arab untuk bertemu ketua-ketua negara bagi membincangkan konflik tersebut, seolah-olah melepaskan rasa geram dan tidak puas hati dengan tindakan Israel, yang didakwa beliau sudah begitu berada di tahap 'kegilaan'.

Untuk rekod, seramai lebih 16,000 rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang, bangsa dan agama berhimpun pada program itu yang sekali gus melihatkan betapa seruan Anwar Ibrahim disahut oleh masyarakat Malaysia.

linaa

2. KPM tarik diri dari Pesta Buku Frankfurt — Fadhlina Sidek

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengambil keputusan untuk menarik diri daripada menyertai Pesta Buku Frankfurt 2023 yang dijadualkan berlangsung di Frankfurt, Jerman.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira sikap pro-Israel serta sokongan terbuka daripada pihak penganjur terhadap Israel.

Menurutnya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak akan sesekali berkompromi terhadap keganasan Zionis yang nyata bertentangan dengan undang-undang antrabangsa dan hak asasi manusia.

Selain KPM, Dewan Bahasa dan Pustaka juga mengambil keputusan sama, tidak menyertai pesta buku tersebut.

zambry

3. Sumbangan RM81 juta Kementerian Luar Malaysia - Zambry Abdul Kadir

Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) berjaya mengumpul lebih RM81 juta bagi membantu penduduk di Palestin yang terjejas ketika ini.

Jumlah itu termasuk dana di bawah seliaan Kementerian Luar Malaysia yang meraih lebih RM71 juta selain dana awal RM10 juta yang diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2024 baru-baru ini.

Sumbangan itu disumbang oleh 46 entiti termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan kerajaan (GLIC), syarikat swasta, yayasan dan persendirian.

Antara penyumbang ke tabung berkenaan adalah Khazanah Nasional Bhd bersama syarikat berkaitan kerajaan berjumlah RM15 juta, Yayasan Al Bukhary (RM5 juta), YTL Corporation Bhd (RM5 juta), Tenaga Nasional Bhd (RM3 juta) dan Maybank (RM2 juta).

adam

4. Tawar stadium untuk Palestin - Adam Adli

Pergolakan yang berlaku di Gaza menyebabkan Persatuan Bolasepak Palestin (PFA), perlu mencari alternatif untuk bermain dalam perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 menentang Australia pada November depan.

Justeru, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli menyatakan Malaysia bersedia memberikan ruang dan peluang bagi Palestin menggunakan stadium di Malaysia untuk perlawanan berkenaan.

Jelasnya, dia telah berhubung dengan kedutaan Palestin dan menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah bagi perlawanan membabitkan negara berkenaan ketika menentang Australia di Stadium Bolasepak Cheras, Kuala Lumpur nanti.

Untuk rekod, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) telah menolak permintaan PFA untuk bermain di Algeria kerana ia berlainan benua yang secara tidak langsung mendesak Palestin untuk mendapatkan venue baharu di rantau Asia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram