SEKUMPULAN penunggang remaja lelaki yang didakwa mengganggu penduduk di Banjarmasin, Kalimantan Selatan, Indonesia ditahan polis dalam satu operasi yang dilakukan pada Selasa.
Namun, situasi tidak diduga berlaku apabila salah seorang daripadanya merayu meminta maaf sambil menangis teresak-esak kepada anggota polis.
Beberapa anggota di situ kelihatan terhibur dan tertawa melihatkan situasi berkenaan yang kemudiannya tular di laman media.
Tangkapan itu difahamkan berlaku selepas sekumpulan remaja itu didakwa menunggang secara berbahaya dan membawa senjata tajam ketika kejadian.
Perkara itu mengundang ketakutan penduduk di kawasan tersebut yang kemudiannya melaporkan insiden itu kepada polis.
Mengulas lanjut tentang hal itu, Datuk Bandar Banjarmasin, Ibnu Sina berkata, dia tidak akan mengenakan perintah berkurung kerana suasana di bandar tersebut masih aman dan selamat.
Beliau pada masa sama berjanji akan menyelesaikan isu kenakalan remaja di kawasan berkenaan.
"Rondaan secara berkala akan dijalankan di beberapa lokasi berbahaya dan persiapan perlu dilakukan sebelum ia berlaku.
"Memang ada 50 anggota unit peronda (Satpol PP) yang menjalankan tinjauan di Banjarmasin, kebiasaannya mereka akan meronda pada hari bekerja dan diharapkan ia mampu mewujudkan suasana aman di kawasan ini," katanya.
Beliau turut merayu kepada semua pihak agar sentiasa berwaspada kerana jenayah boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja.
"Disebabkan insiden yang berlaku baru-baru ini, kita aktifkan semula tahap keselamatan di setiap kawasan kampung.
"Lokasi yang dipasang kamera CCTV akan ditambah walaupun kini sudah terdapat lebih 178 buah peranti yang dipasang.
"Saya akan terus berusaha untuk memantau keadaan dan suasana bandar Banjarmasin agar ia selamat untuk diduduki," katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram