'Mengecewakan', Young Syefura selar kontraktor sambil lewa baik pulih tandas sekolah


  • Massa
  • Sabtu, 28 Okt 2023

Keadaan pili dalam tandas sebuah sekolah yang dikatakan tidak mencapai piawaian dan tahap kekemasan yang sepatutnya.

AHLI Parlimen Bentong, Young Syefura Othman baru-baru ini meluahkan rasa kesal terhadap segelintir pihak yang mengambil ringan isu penyelenggaraan di tandas sekolah.

Perkara itu dibangkitkan selepas beliau menjalankan pemeriksaan mengejut terhadap kemudahan tandas yang dibaik pulih di sebuah sekolah yang menurutnya tidak memuaskan dari segi pembaikan.

Beliau menyifatkan hasil kerja kontraktor terhadap kerja-kerja baik pulih itu kurang cermat dan tidak lengkap dari segi kekemasan.

"Hari ini saya telah melakukan pemeriksaan mengejut ke sebuah sekolah untuk melihat hasil kerja kontraktor untuk projek baik pulih tandas.

"Setiap sekolah menerima RM70,000 untuk membaik pulih tandas-tandas sekolah yang rosak.

"Hasil pemerhatian saya adalah amat mengecewakan. Saya faham nilai RM70,000 bukan nilai yang besar namun ia juga bukan sedikit, apakah kontraktor ini mengambil kesempatan dengan tidak membuat kerja sebaik mungkin?

"Ini baru dua keping gambar yang saya letakkan di sini," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Screenshot 2023-10-28 084109

Young Syefura kesal ada pihak kontraktor yang bersikap sambil lewa dalam menjalankan kerja baik pulih di tandas di sekolah.

Tambah beliau, pihak kontraktor dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) antara yang perlu dijalankan siasatan segera berhubung hal tersebut.

"Ada pelbagai isu yang saya lihat dalam pemeriksaan tersebut yang perlu diambil tindakan segera oleh pihak kontraktor dan pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

"Saya akan membuat pemantauan tandas di sekolah-sekolah lain juga dan tidak akan bertolak ansur dengan pihak yang memandang ringan akan isu ini," katanya.

Dalam pada itu, di ruangan komen rata-ratanya turut menyokong tinjauan dilakukan dan turut memberikan beberapa cadangan bagi penyelesaian isu tersebut.

Menurut Meor Ezree Syazrin, dia mencadangkan agar pihak kerajaan menyediakan satu acuan penyelenggaraan yang sama dipakai pada setiap proses pembaikan di tandas sekolah.

"Mohon pihak berwajib sediakan satu 'template' supaya boleh diselaraskan oleh semua kontraktor.

"Kos bahan berbeza-beza tempat boleh faham kalau reka bentuknya berlainan tetapi kualiti dihasilkan sepatutnya sama," katanya.

"Senang lantik satu kontraktor yang bagus dan pakai khidmat dia di setiap sekolah dalam negeri yang sama, tak payah bertukar-tukar tangan nanti hasilnya tak bagus," ujar Mohd Fahmi.

"Saya cadangkan YB audit proses pelantikan kontraktor juga. Mungkin lalu banyak tangan menyebabkan bajet sebenar RM20,000 ke RM30,000 sahaja," tambah Syahril Azeem Ong.

Untuk rekod, Kementerian Pendidikan (KPM) memberi tempoh tiga bulan kepada setiap sekolah untuk menyelesaikan kerja penyelenggaraan tandas sekolah demi keselesaan murid.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya dalam proses mengagihkan peruntukan RM70,000 kepada setiap sekolah di seluruh negara bagi memperbaiki isu tandas dihadapi murid sekolah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram