[VIDEO] Satu pesawat kena 'sidai' angkara penumpang tak ada sivik berak atas lantai tandas kapal terbang


  • Benua
  • Khamis, 19 Okt 2023

Tangkap layar video tular memaparkan insiden pembatalan penerbangan tersebut selepas najis seorang penumpangnya didapati mencemari lantai tandas ruang kabin pesawat berkenaan. — Agensi

SEBUAH penerbangan yang baru hendak berlepas dari Sepanyol ke London terpaksa dibatalkan selepas seorang penumpangnya membuang air besar di atas lantai tandas ruang kabin pesawat berkenaan.

Insiden tersebut terjadi ke atas pesawat syarikat penerbangan EasyJet yang dijadualkan berlepas dari Tenerife, Sepanyol ke lapangan terbang Gatwick di London.

Menurut Metro, penerbangan itu sepatutnya berlepas dari Tenerife pada Ahad pukul 8.05 malam dan tiba di London pada pukul 12.20 pagi.

Bagaimanapun, waktu pelepasan mengalami kelewatan selama beberapa jam sebelum penumpang dibenarkan menaiki pesawat.

Bagaimanapun, kumpulan penumpang terbabit sekali lagi menerima khabar buruk selepas juruterbang memaklumkan pelepasan tidak dapat dilakukan kerana terdapat seorang individu membuang air besar di atas lantai tandas pesawat.

Menerusi video viral berkenaan kejadian tersebut, juruterbang pesawat membuat pengumuman dan berkata, "Kami terpaksa menguruskan najis yang mencemarkan ruang tandas di hadapan pesawat," ujarnya.

Insiden itu dilihat mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan penumpang yang terpaksa bermalam di bandar tersebut kerana penerbangan berkenaan hanya berlepas pada keesokan harinya.

Seorang jurucakap Easyjet dalam satu kenyataan berkata, pembatalan penerbangan itu terpaksa dibuat kerana pihaknya perlu melakukan pembersihan tambahan terhadap kemudahan di dalam pesawat terbabit. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram