Sanggup naik flight dari Kelantan, penyokong mati mengejut sebelum sempat sokong TRW


  • Podium
  • Sabtu, 14 Okt 2023

Ghaddar (kiri) bersaing dengan pertahanan Selangor, Bunyamin Umar pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Shah Alam pada 11 tahun lalu.

MUSIM ini, seorang penyokong fanatik The Rhinos yang hadir untuk menyaksikan aksi Liga Super antara Sabah FC dan Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Likas dilaporkan meninggal dunia selepas pengsan ketika meraikan gol pembukaan tuan rumah.

Penyokong terbabit, Addly Elly Mily, 39, yang merupakan kakitangan Pejabat Pengarah Penjara Negeri Sabah Dan Wilayah Persekutuan Labuan dilaporkan sudah menghembuskan nafas terakhirnya ketika sedang dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth 1, Kota Kinabalu, Sabah.

Berdasarkan laporan doktor Hospital Queen Elizabeth 1, mangsa disahkan meninggal dunia pada pukul 9.30 malam, 9 Ogos 2023 dan punca kematian tidak diketahui (brought in death/undertermined).

penyokong sabah

Tangkap layar daripada video ketika penyokong Sabah FC itu diusung untuk diberikan rawatan.

Khabar duka sebegitu rupa juga pernah terjadi dalam kepada kem Kelantan apabila seorang penyokong The Red Warriors (TRW) tidak kesampaian menyaksikan aksi pasukan kesayangan apabila meninggal dunia sewaktu bersama-sama dengan 75,000 penonton di Stadium Shah Alam lebih kurang 11 tahun lalu.

Berdasarkan laporan media pada 14 Oktober 2012, ejen insurans yang bernama Suharto Abdullah itu tidak sempat meraikan kemenangan Kelantan 2-0 ke atas Selangor kerana meninggal dunia pada pukul 10 malam, kira-kira 30 minit sebelum Kelantan membuka jaringan.

Ketika itu, TRW menang dan mara ke akhir Piala Malaysia 2012 menerusi jaringan dari penyerang import, Mohamad Ghaddar pada minit ke-85 manakala jaringan kedua disempurnakan oleh Mohd. Badri Mohd. Radzi pada minit terakhir.

Difahamkan, allahyarham yang tinggal di Taman Uda Permai, Pengkalan Chepa, Kelantan menaiki pesawat penerbangan tambang murah, Firefly dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra bersama dua orang rakan.

Bagaimanapun, dalam keadaan berdebar-debar ketika kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan, Suharto yang duduk di aras dua Pintu A iaitu sebelah kanan grandstand dilaporkan sesak nafas dan rebah dalam keadaan tidak sedarkan diri di stadium itu.

main pic maut

Suharto (gambar kecil) meninggal ketika usianya 45 tahun.

Dia kemudian dikejarkan ke sebuah hospital swasta di Shah Alam dengan bantuan para penonton serta Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) tetapi di sahkan meninggal dunia sebaik tiba 30 minit kemudian. Jenazah allahyarham kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang, Selangor untuk bedah siasat.

Isterinya, Mazlina Othman yang datang ke HTTR bagi menuntut jenazah Suharto terkejut dengan kematian suaminya itu kerana sepanjang pengetahuannya, allahyarham tidak menghidap penyakit berbahaya.

Mazlina juga mengakui suaminya itu peminat fanatik The Red Warriors sehingga sanggup pergi ke mana-mana sahaja untuk menonton perlawanan pasukan tersebut.

"Dia memang penyokong setia Kelantan dan menyimpan koleksi cenderamata termasuk jersi, kain rentang, gelas dan bermacam-macam lagi.

"Allahyarham juga tidak lokek membelikan jersi pasukan untuk kelima-lima anak kami," katanya dalam laporan media pada 11 tahun lalu.

Mazlina memberitahu, doktor HTAR mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian mengejut dan kemudian jenazah Suharto kemudian dibawa pulang untuk dikebumikan di kampungnya di Kampung Lubuk Kawah, Pasir Mas, Kelantan. —Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram