[VIDEO] Masalah gear punca pesawat Beechcraft TUDM mendarat cemas di LTSAAS


  • 112
  • Isnin, 16 Okt 2023

Pesawat milik TUDM terpaksa melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor pada Isnin.

SEBUAH pesawat Beechcraft B 200T milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor, pukul 1 petang Isnin.

Bahagian Perhubungan Awam TUDM menerusi satu kenyataan memaklumkan bahawa semua empat anak kapal pesawat itu selamat dan tidak mengalami kecederaan.

Menurutnya, kejadian berlaku semasa pesawat daripada 16 Skuadron yang berlepas dari Pangkalan Udara Subang pada pukul 11.27 pagi, sedang melaksanakan latihan penerbangan.

"TUDM akan menubuhkan pasukan penyiasatan bagi mengenal pasti punca kejadian," jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Norazman Mahmud berkata, juruterbang pesawat berkenaan telah memaklumkan Menara Kawalan Trafik Udara (ATC) Subang mengenai masalah gear pendaratan dan meminta bantuan untuk mendarat.

"Menara ATC kemudian memaklumkan kepada Perkhidmatan Bomba dan Menyelamat Lapangan Terbang Subang bagi mengaktifkan Pelan Kecemasan Lapangan Terbang dan menyediakan bantuan kecemasan kepada pesawat semasa mendarat," katanya.

Beliau berkata, pesawat berkenaan dalam proses dialihkan dan landasan lapangan terbang dijangka dibuka semula untuk beroperasi pada 5 petang.

Menurutnya siasatan dilaksanakan mengikut Bahagian XXVI Peraturan Penerbangan Awam 2016. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram