[VIDEO] Lelaki baling kerusi lepas dicekup buang air besar di ruang wuduk surau Shah Alam


  • Tular
  • Khamis, 26 Okt 2023

Tangkap layar seorang lelaki didakwa membuang air besar di ruang wuduk sebuah surau dekat Shah Alam, Selangor.

SEORANG lelaki bertindak di luar kawalan selepas dia ditangkap membuang air besar di ruang wuduk sebuah surau dekat Shah Alam, Selangor pada Rabu.

Perbuatan itu dikatakan berlaku selepas orang ramai selesai mengerjakan solat Zuhur di surau berkenaan sebelum individu terbabit mula melakukan perbuatan jijik tersebut.

Lelaki berkenaan didakwa sengaja membuang air besar di ruang wuduk meskipun kemudahan tandas disediakan.

Ditegur oleh seorang jemaah surau, si pelaku kemudiannya terus bertindak ganas dan mengejarnya selepas diberikan amaran.

Enggan mengaku salah, lelaki berbaju putih dan berseluar biru itu kemudiannya terus meluru ke arah si perakam yang sekali gus mencetuskan kekecohan ketika kejadian.

Mengancam untuk melaporkan hal itu kepada polis, lelaki terbabit mencampakkan sebuah kerusi besi ke arahnya dan terus menidakkan kesalahannya.

Namun, menurut maklumat umum, pihak polis sudah mengambil tindakan terhadap si pelaku namun belum ada sebarang kenyataan dilaporkan berhubung isu berkenaan setakat ini.

Tiada kecederaan dilaporkan berlaku dalam hal terbabit dan orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat spekulasi berkaitan isu tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram