UMAT Islam dibenarkan untuk menikahkan orang bukan Islam sekiranya tidak menyebut nama mana-mana tuhan sewaktu berlangsungnya akad.
Menurut Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, perkara itu dibolehkan selagi tiada kemungkaran dalam perkahwinan tersebut.
Malah ujarnya, ia turut diakui sebahagian ulama yang berpendapat, sebarang lafaz menunjukkan perkahwinan di sisi masyarakat adalah sah.
“Aku milikkan wanita itu kepada engkau. Kalau perkataan itu dianggap nikah di sisi masyarakat, maka ia nikah.
"Tetapi kalau sebelum nak akad itu dia perlu sebut, ‘in the name of Jesus’ maka ia tidak boleh," katanya dalam rakaman video yang dimuat naik menerusi aplikasi YouTube pada Rabu.
Mohd Asri yang lebih dikenali sebagai Dr Maza berkata, perkahwinan merupakan satu perkara baik yang dituntut oleh setiap agama kerana ia menjauhi perbuatan maksiat.
Jelasnya lagi, perkahwinan yang tidak boleh diiktiraf hanyalah melibatkan pernikahan antara adik-beradik, isteri orang, ibu atau bapa.
“Perkara itu bertentangan tetapi kalau mereka kahwin dengan golongan selain itu maka ia diiktiraf,” kata beliau.
Dalam masa sama, Mohd Asri menjelaskan bahawa pasangan bukan Islam yang memeluk agama Islam di kemudian hari tidak perlu dinikahkan semula.
Ini kerana katanya, pernikahan yang diadakan sebelum itu diterima oleh majoriti para ulama.
"Islam mengiktiraf perkahwinan semasa kafir maka anak mereka boleh berbinkan nama si ayah," tambahnya.
Saifuddin (lima dari kanan) bersama pasangan Ravind Krishnan dengan Yuvanitha Ganesh dan pasangan Gideon Gabriel Jabanathan dan Yeoh Shin Yi (kanan) semasa upacara perkahwinan sivil pada majlis Sambutan Jubli Intan JPN pada Rabu. — Bernama
Isu ini berbangkit selepas tular video menunjukkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail terlibat dalam proses pendaftaran perkahwinan sivil pasangan bukan Islam di Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Putrajaya sempena Majlis Sambutan Jubli Intan JPN, pada pagi Rabu.
Sementara itu, JPN dalam satu kenyataan memberitahu, Menteri Dalam Negeri selaku menteri yang bertanggungjawab bagi pendaftaran perkahwinan sivil boleh melakukan pendaftaran perkahwinan pasangan bukan Islam selaras dengan Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 [Akta 164].
Selain Menteri Dalam Negeri, Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Timbalan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Pengarah Bahagian Perkahwinan dan Perceraian, Pengarah Pendaftaran Negeri serta pegawai dan kakitangan JPN yang bertugas di Bahagian Perkahwinan dan Perceraian sebagai Timbalan Pendaftar Perkahwinan turut diberikan kuasa tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram