Kayu terpakai dari Pahang realisasikan kafe tema Melayu klasik di P. Pinang


  • Hobi
  • Khamis, 26 Okt 2023

Hampir keseluruhan pembinaannya menggunakan kayu  terpakai seperti Merbau, Meranti dan Cengal. — Bernama

SEBUT sahaja Pulau Pinang, ramai yang mungkin sudah terbayang bukan sahaja lokasi pelancongan menarik tetapi juga makanan termasuk nasi kandar dan rojak pasembur serta tidak ketinggalan durian Balik Pulau.

Terkini, The Silverhouse Kitchen, sebuah kafe yang bertemakan rumah Melayu klasik berwarna perak yang terletak di Kampung Sungai Burung, Jalan Bharu, Balik Pulau, Pulau Pinang, semakin mencuri perhatian pengunjung.

Terletak kira-kira-kira 30 kilometer dari bandar George Town, kafe ini terserlah dengan nilai estetika tersendiri membuatkan sesiapa sahaja yang melihatnya pasti terpesona dengan keunikan seni binanya.

Menurut pengusahanya Norwahhana Abdul Wahab, 51, kafe itu dibangunkan di sebuah tanah dan hampir keseluruhan pembinaannya menggunakan kayu terpakai seperti Merbau, Meranti dan Cengal.

The Silverhouse Kitchen menampilkan konsep klasik dan meden. Bernama

Kayu terpakai itu diambil daripada sebuah rumah lama yang dibeli di Pahang. Reka bentuk rumah pula adalah seperti rumah kayu biasa sahaja tetapi nampak menarik dan cantik kerana keseluruhannya dicat dengan warna perak bagi menampilkan kelainan dengan gabungan konsep klasik dan moden.

"Ia dibina mengikut ciri-ciri rumah klasik zaman dahulu yang hanya mempunyai satu tingkat di bahagian atas sahaja serta tangga batu yang menjadi laluan untuk naik ke rumah ini. Untuk ruang masuk, di kiri dan kanan tangga diletakkan kerawang yang saya beli daripada seorang rakan yang dibuat untuk sebuah majlis keraian.

"Rakan saya sudah tidak menggunakan lagi kerawang itu, jadi saya beli untuk hiasan di The Silverhouse Kitchen. Asalnya kerawang itu berwarna emas tapi saya cat warna perak supaya sama dengan tema kafe yang saya mahukan," katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

The Silverhouse Kitchen mula dibuka kepada pengunjung selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun 2021.

"Kami menggabungkan elemen moden dan klasik. Di setiap sudut kafe di kelilingi dengan candelier, bunga-bungaan dan daun hijau bagi membangkitkan suasana tenang dan nyaman.

"Kami turut membina dua buah inap desa untuk penginapan bermalam serta dewan besar iaitu The Silverhall di sebelah kafe ini yang boleh digunakan untuk pelbagai acara termasuk majlis perkahwinan,” katanya yang berpengalaman selama 28 tahun dalam bidang kecantikan dan mengusahakan butik serta sebagai perancang majlis.

Screenshot 2023-10-25 202644 3

Dekorasi dan hiasan di The Silverhouse Kitchen menggunakan berangan pengantin yang digubah semula. Bernama

Berkongsi ilham dekorasi kafe, ibu kepada empat orang cahaya mata dan berasal dari Ipoh, Perak ini berkata, ia adalah cetusan ideanya sendiri, dan di di kafe itu juga terdapat kubah yang asalnya digunakan untuk acara perkahwinan bagi laluan pengantin.

"Saya mahu kafe ini nampak klasik jadi saya letakkan kubah ini di laluan ke kafe. Saya memang banyak guna barang pengantin termasuk dekorasi pelamin sebelum ini yang digubah semula mengikut kreativiti sendiri.

"Selain itu, kerusi pengantin dan meja makan beradab pun saya ubah dan hias ikut cita rasa sendiri dengan membalut dan mengecat semula supaya ia nampak baharu,” katanya yang dibantu oleh lima orang pekerja.

Menu yang ditawarkan kepada pengunjung di The Silverhouse Kitchen, antaranya ialah masakan kampung dan barat seperti Korean chicken, ikan bawal goreng, ayam berlado, kuetiau goreng, chicken teriyaki dan chicken chop.

Turut disajikan menu istimewa laksa sardin premium yang kuahnya dimasak bersama buah nanas yang dikisar sekali gus membangkitkan rasa asli masam manis serta air bunga telang yang pokoknya ditanam sendiri berhampiran kafe.

Laksa Sardin antara menu yang disediakan di The Silverhouse Kitchen. Bernama

Bukan sahaja mampu menarik pengunjung tempatan dari pelbagai kaum bahkan sejak dibuka, kafe itu turut menerima kehadiran pelancong dari luar negara antaranya Singapura, China, Jepun dan United Kingdom.

"Di The Silverhouse Kitchen, pengunjung juga berpeluang menikmati panorama indah matahari terbenam, melakukan aktiviti berbasikal berlatar belakangkan sawah padi, memancing ikan di kolam serta mengadakan hari keluarga di kawasan yang jauh dari hiruk-pikuk kota,” katanya menambah, kafe itu dibuka setiap hari kecuali Selasa bermula 2 petang hingga 10.30 malam.

Memasang impian untuk melihat perniagaan yang diusahakannya menjadi hab tarikan pelancongan di Balik Pulau, Norwahhana berkata kewujudan kafe, inap desa dan dewan itu secara tidak langsung memberi peluang menjana pendapatan kepada penduduk setempat.

"Memang niat saya mahu menjadikan tempat ini sebagai hab pelancongan yang dapat meningkatkan taraf ekonomi penduduk di Balik Pulau. Anak-anak muda di sini dapat bekerja dengan saya, jadi dapat juga mereka sumber pendapatan.

"Selain itu saya turut membuka konsep vendor, jadi orang-orang kampung terutama suri rumah dapat menghantar kuih-muih mereka di sini untuk dijual," katanya.

Beliau pada masa sama berharap apa yang diusahakanua akan terus kekal sebagai lubuk pelancongan tempatan.

"Ia momen paling manis buat saya, jika diikutkan asal kawasan ini hanyalah hutan terbiar sahaja. Dari situ saya terfikir untuk menjadikannya sebagai satu destinasi yang boleh menarik pelancong datang ke negeri ini," katanya yang mendapat sokongan penuh daripada suami, adik beradik serta rakan-rakan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram