Angkara bingit dengar anak menangis, lelaki ada 4 bini tergamak dera, bunuh 3 cahaya mata


  • Benua
  • Jumaat, 22 Sep 2023

Polis menemui mayat budak perempuan berusia dua tahun dibungkus dalam plastik sampah dan ditanam di bawah lantai dapur. — Agensi

SEORANG bapa dipercayai tergamak membunuh lima anaknya dalam tempoh 10 tahun lalu.

Bagaimanapun, suspek, Songsak Songsaeng mengaku dia hanya membunuh tiga anaknya, bukan lima seperti yang dilaporkan media sebelum ini.

Dua lagi mangsa dikatakan meninggal dunia akibat sakit.

Songsak, 46, ditahan pada 10 September lalu selepas pempengaruh media sosial, Kanthas Phongphaibulwet melaporkan kejadian penderaan kanak-kanak di sebuah pangsapuri di daerah Bang Khen, Bangkok.

Bapa kepada 10 cahaya mata berusia antara enam bulan hingga 22 tahun hasil perkahwinan dengan empat isterinya, mengaku membunuh anak perempuannya yang berusia dua tahun.

Pada Selasa lalu, polis menemui mayat budak perempuan tersebut yang dibungkus dalam plastik sampah dan ditanam kira-kira 70 sentimeter di bawah tanah di rumah isteri ketiga suspek bernama Sunan.

Songsak mengaku kepada polis, dia dan Sunan membunuh kanak-kanak itu pada Mei lalu dan menanam mayatnya di bawah lantai dapur di rumah Sunan di Kamphaeng Phet.

Dia mendakwa masalah kesihatan yang dihadapinya menjadi antara punca kelakuan itu.

Kemarahannya memuncak tatkala mendengar tangisan anaknya, apatah lagi dalam keadaan dia tidak mampu menyediakan makanan kepada mereka.

WhatsApp Image 2023-09-22 at 17.52.19

Songsak ditahan pihak polis atas kesalahan membunuh anak-anaknya. — Agensi

Songsak kemudian mendedahkan kepada pegawai polis butiran bagaimana dia mendera setiap anak-anaknya.

Menurut laporan polis, Songsak memukul anak lelakinya yang berusia enam bulan bernama Sakda sehingga diserang sawan dan meninggal dunia.

Manakala bagi anak lelakinya yang berusia sebulan, Theeraparp, Songsak memukulnya lebih enam kali untuk menghentikan kanak-kanak itu daripada menangis, namun tindakannya gagal apabila Theeraparp masih juga tidak berhenti menangis.

Songsak kemudiannya membuat keputusan kejam dengan mengurung bayi itu di dalam kabinet televisyen dan meninggalkannya sehingga dia meninggal dunia.

Mangsa terakhir, anak perempuannya berusia dua tahun bernama Model dipercayai ditumbuk di perut oleh bapanya yang kejam. Model kemudian jatuh sakit hingga mengakibatkan dia meninggal dunia.

Sementara itu, Songsak menegaskan bahawa dia tidak mendera dua lagi anak lelakinya iaitu Thanasab yang berusia dua bulan dan Natthapong (sebulan).

Katanya, Thanasab sakit sejak lahir, dia malah menuduh isterinya, Jadesada, membunuh Natthapong dengan memasukkan kain ke dalam mulutnya.

Jadesada dalam pada itu turut mengakui tuduhan Songsak, bagaimanapun perbuatan itu dilakukan semata-mata untuk melindungi anaknya.

Jelasnya, dia tidak mahu Songsak menyerang anaknya, jadi dia meletakkan kain pada mulut Natthapong untuk menghalangnya daripada menangis.

Jadesada menambah, dia tetap meneruskan perkahwinan dengan Songsak kerana dia adalah cinta pertamanya, dan dia juga tidak mempunyai pilihan lain. Songsak bagaimanapun, meninggalkan Jadesada untuk isteri baharu, Sunan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram