LEBIH 100 orang maut dan 150 lagi cedera dalam tragedi kebakaran di sebuah majlis perkahwinan di utara Iraq, pada malam Selasa.
Kebakaran berlaku di daerah Al-Hamdaniya di wilayah Nineveh, utara Iraq dengan punca kebakaran masih belum diketahui, namun laporan awal mengatakan kejadian itu berlaku selepas bunga api dinyalakan.
Timbalan Gabenor Nineveg Hassan al-Allaq memberitahu Reuters, seramai 113 orang disahkan meninggal dunia.
Pengantin perempuan dan lelaki dilaporkan antara mangsa kejadian, menurut media tempatan.
Pasukan keselamatan dan perubatan dikerah untuk menyelamatkan mangsa tragedi. — Agensi
Foto yang disiarkan oleh agensi berita Iraq, Nina menunjukkan anggota bomba bertungkus-lumus memadam kebakaran, dan wartawan tempatan berkongsi gambar mayat dalam dewan yang hangus di media sosial.
Difahamkan, panel mudah terbakar di dalam bangunan itu mungkin menyebabkan api lebih marak yang membawa kepada runtuhan siling.
"Kebakaran itu menyebabkan bahagian dewan runtuh akibat penggunaan bahan binaan murah dan sangat mudah terbakar. Ia runtuh dalam beberapa minit selepas kebakaran berlaku," kata pengarah pertahanan awam Iraq yang dipetik agensi berita berasingan Nina, yang dilapor BBC.
Anggota bomba boleh dilihat memanjat serpihan bangunan untuk mencari mangsa yang terselamat dalam video yang dirakam di tapak oleh wartawan agensi berita Reuters.
Saksi berkata ratusan orang berada di dewan berkenaan untuk meraikan majlis perkahwinan apabila bangunan itu terbakar pada pukul 10:45 waktu tempatan.
"Kami melihat api marak dari dewan. Ada orang yang berjaya keluar dan mereka yang tidak terperangkap. Malah mereka yang keluar juga cedera," kata mangsa terselamat, Imad Yohana, 34, kepada Reuters.
Kenyataan rasmi kerajaan menyebut ambulans dan petugas kesihatan sudah dikerah ke lokasi untuk membantu mangsa.
Perdana menteri Iraq meminta pihak berkuasa menggerakkan semua usaha untuk memberikan bantuan kepada mereka yang terjejas dengan insiden malang itu.
Mangsa yang cedera dihantar ke hospital di seluruh wilayah Nineveh, manakala hospital utama di Hamdaniyah, sebuah bandar di timur ibu kota wilayah Mosul menyaksikan berpuluh orang tiba untuk menderma darah bagi membantu mangsa. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram