SIKAP segelintir ibu bapa yang sering lepas tangan dan mengabaikan keselamatan anak-anak boleh mengundang padah sekiranya ia berlarutan.
Perkara itu boleh digambarkan menerusi perkongsian di laman media apabila seorang kanak-kanak perempuan nyaris lemas akibat terperangkap dalam sebuah beg galas di Sepang, Selangor pada Isnin.
Ketika kejadian, kanak-kanak itu terlebih dahulu dirakam sedang bermain seorang diri di dalam sebuah beg galas berwarna kuning tanpa pengawasan keluarganya.
Namun, situasi bertukar serius apabila dia kemudiannya masuk ke dalam beg tersebut dan menutup zip dari dalam yang sekali gus mengakibatkan kanak-kanak itu terperangkap.
Dirakamkan menerusi kamera litar tertutup (CCTV), insiden itu hangat diperkatakan warganet.
Menyedari kehilangan budak itu, seorang wanita dipercayai ibunya dilihat cemas dan memanggil anaknya beberapa kali sebelum terlihat akan pergerakan mencurigakan dari dalam beg tersebut.
Segera memeriksa situasi tersebut, wanita berkenaan kemudiannya terus membuka zip beg itu dan mengeluarkan anaknya yang dipercayai hampir lemas ketika kejadian.
Tiada sebarang kecederaan mahupun kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam situasi tersebut dan kanak-kanak itu juga difahamkan selamat.
Justeru, Ibu bapa dinasihatkan untuk sentiasa memantau pergerakan serta aktiviti anak-anak ketika bermain di rumah bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram