[VIDEO] Pengaruh kartun YouTube, budak panjat bumbung rumah 3 tingkat untuk cari ayam


  • Benua
  • Rabu, 25 Okt 2023

Tangkap layar seorang kanak-kanak lelaki memanjat bumbung rumah setinggi tiga tingkat akibat pengaruh video kartun YouTube di Indonesia.

TINDAKAN seorang kanak-kanak lelaki yang memanjat bumbung rumah tiga tingkat di Indonesia pada Selasa lalu mengundang perhatian di laman media.

Situasi itu dikatakan berpunca akibat pengaruh video kartun di YouTube yang mengajak penonton untuk mencari seekor ayam di atas bumbung kediaman.

Nathan Aqshel Flynn yang merupakan anak kepada bekas finalis pertandingan Puteri Indonesia 2018, Firsi Alda Feligia walau bagaimanapun berjaya diselamatkan selepas disedari bapanya.

Difahamkan, video tersebut berjudul 'Bortolito-Kids Songs & Nursery Rhymes' dan disiarkan di saluran YouTube yang memaparkan aksi ayam jantan melompat di atas bumbung rumah.

Menurut bapanya dikenali sebagai Firsi, ketika kejadian, mereka sekeluarga cemas kerana Nathan hilang dan gagal dikesan.

Namun, selepas terdengar tangisan kanak-kanak itu, mereka berjaya menemuinya sedang berdiri di atas bumbung rumah setinggi tiga tingkat.

Firsi turut menunjukkan ketinggian bumbung rumah tersebut sambil berkata, dia sukar mempercayai bagaimana anaknya boleh memanjat sendiri.

"Dia naik ke atas sendiri. Ia amat tinggi dan bahaya," ujarnya.

Tambah Firsi, selepas suaminya berjaya membawa turun Nathan, dia bertanyakan kepada kanak-kanak itu tujuan dia memanjat bumbung.

"Katanya, dia mahu bertemu dengan ayam kerana menurutnya, setiap bumbung rumah pasti ada ayam," jelas Firsi pada hantarannya di laman Instagram.

Firsi turut mengingatkan orang ramai agar memantau aktiviti tontonan anak-anak mereka yang masih kecil kerana menurutnya, imaginasi kanak-kanak ada masanya berbahaya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram