Bergurau bakar tandas hingga rakan rentung, 2 remaja dihukum cuci tandas awam 100 jam selama 6 bulan


Dua suspek didakwa mengakibatkan kebakaran sebuah tandas dan mengorbankan nyawa seorang lelaki dijatuhi hukuman kerja khidmat masyarakat dengan mencuci tandas awam selama 100 jam.

DUA remaja lelaki diarahkan untuk membuat kerja khidmat masyarakat dengan mencuci tandas selama 100 jam dalam tempoh enam bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Selangor, Selangor pada Rabu, atas kesalahan khianat terhadap sebuah bangunan dengan api, tahun lepas.

Majistret Siti Hajar Ali menjatuhkan hukuman itu selepas kedua-dua remaja berkenaan mengaku bersalah.

Siti Hajar turut memerintahkan bon berkelakuan baik sebanyak RM1,000 setiap seorang selama dua tahun serta melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dalam tempoh sama.

"Kamu juga tidak boleh keluar rumah sendirian bermula pukul 8 malam hingga 6 pagi kecuali ditemani ibu bapa masing-masing. Kena hadir bengkel yang dikendalikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua remaja berumur 16 tahun dan masih bersekolah itu didakwa melakukan khianat dengan api dan menyebabkan kebinasaan tandas awam gelanggang futsal di Fasa 3 Bandar Puncak Alam, Selangor pada pukul 2.47 petang, 28 Ogos 2022.

Baca juga: [VIDEO] Setahun berlalu, ibu Damin Mikhail masih rindu, tak masak lauk kegemaran anak

Pendakwaan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda.

Terdahulu pada prosiding itu, wakil JKM mengemukakan laporan akhlak kedua-dua tertuduh selain mengemukakan dua syor termasuk berkelakuan baik.

Dua penasihat awam turut memberikan penyataan dalam galeri mahkamah menegur perbuatan kedua-dua tertuduh yang membinasakan harta awam dan memberi kesan kepada keluarga arwah mangsa seorang remaja lelaki (Muhammad Damin Mikhail Kansol).

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Afiq Qiwamuddin Mustapha Shakri turut memohon hukuman setimpal dikenakan kepada kedua-dua tertuduh kerana kejadian itu melibatkan kepentingan awam.

Turut hadir dalam prosiding tersebut peguam pemerhati Johan Ariff Salim Khan mewakili keluarga mangsa manakala kedua-dua remaja itu tidak diwakili peguam.

Media sebelum ini melaporkan seorang remaja lelaki, Muhamad Damin Mikhail Kansol, 16, ditemukan rentung dalam kebakaran di sebuah tandas awam di Bandar Puncak Alam, Selangor angkara gurauan dua rakannya itu tahun lepas. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram