"MEREKA cakap lain di mahkamah." Demikian antara luahan ibu mangsa tragedi kebakaran tandas awam yang berlaku di Bandar Puncak Alam Fasa 3, Selangor tahun lalu.
Mendakwa suspek berbohong kepada mahkamah dan tidak menceritakan kejadian sebenar dalam perbicaraan sebelum ini, Hizanawati Abu Bakar, 49, berkeras akan mengambil tindakan susulan atas perkara tersebut.
Jelasnya, kronologi kematian anaknya berpunca akibat kecuaian kedua-dua remaja terbabit yang tidak mengejutkan anaknya, Muhammad Damin Mikhail Kansol sebaik menyedari api mula marak ketika kejadian.
Namun, perkara itu dikatakan sama sekali berbeza dengan apa yang diceritakan kepada hakim di mahkamah berbanding pengakuan suspek kepadanya sebelum ini.
"Kalau ikutkan pada cerita sebenar, remaja itu mengaku yang mereka memanggil anak saya sebanyak tiga kali selepas tengok api marak.
"Selepas dah cuba kejutkan, anak saya yang masih mamai kerana tidur ketika itu terperangkap dan tak lepas untuk keluar dari situ akibat terhalang dengan sofa dan sebagainya.
"Tetapi, bila di mahkamah lain pula ceritanya, budak-budak itu bercerita sebaliknya.
"Mereka kata dah cuba kejutkan anak saya dahulu sebelum api mula marak, dan secara tidak langsung menampakkan mereka tidak bersalah, saya ada lagi rakaman perbualan kami pada tahun lalu jadi jangan nak cuba menipu," dakwanya kepada Majoriti.
Hizanawati masih tidak dapat melupakan peristiwa hitam yang mengorbankan nyawa anak lelakinya.
Mendakwa ia satu pembohongan yang perlu dihentikan, ibu kepada enam orang anak itu berkata, dia akan mengambil tindakan susulan terhadap tertuduh bagi membela kematian anaknya.
"Saya akan berbincang dengan peguam saya selepas ini untuk lihat prosedur lanjut berkenaan tindakan susulan daripada kami.
"Peguam saya juga ada berkata perkara yang sama dan memang terbukti suspek menipu dalam hal ini.
"Hukuman cuci tandas langsung tidak setimpal dengan kematian anak saya, mereka seolah-olah mendiamkan diri dan menganggap tidak bersalah atas kehilangan Damin Mikhail," dakwanya.
Terdahulu, Mahkamah Majistret Kuala Selangor, Selangor pada Rabu menjatuhkan hukuman melakukan kerja khidmat masyarakat dengan mencuci tandas selama 100 jam dalam tempoh enam bulan kepada dua remaja lelaki yang didakwa melakukan kesalahan khianat kebakaran terhadap sebuah tandas awam di Bandar Puncak Alam Fasa 3, Selangor tahun lalu.
Mangsa, Muhammad Damin Mikhail Kamsol, 16, ditemukan rentung selepas kebakaran itu dipadamkan pihak bomba. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram