Surat rasmi kepada Jabatan Kerajaan mesti menggunakan Bahasa Melayu — PM Anwar


  • Primer
  • Rabu, 25 Okt 2023

Anwar Ibrahim ketika berucap di Karnival Dekad Bahasa Kebangsaan dan Dekad Membaca Kebangsaan di Universiti Multimedia, Cyberjaya. — The Star

SURAT rasmi yang dihantar kepada jabatan kerajaan mesti dihasilkan dalam bahasa Melayu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, surat yang tidak dihantar dalam bahasa kebangsaan akan dikembalikan kepada pengirim.

"Saya ingin mengingatkan pihak awam dan swasta mengenai arahan bahawa mereka yang mengirim surat dalam bahasa selain bahasa kebangsaan, kiriman mereka akan dipulangkan semula," katanya.

Berucap pada majlis pelancaran Karnival Dekad Bahasa Kebangsaan dan Dekad Membaca Kebangsaan di Universiti Multimedia, Cyberjaya pada Rabu, Anwar berkata, terdapat sedikit kekeliruan dalam menekankan penggunaan bahasa antarabangsa.

"Terdapat segelintir pihak daripada jabatan kerajaan, universiti awam termasuk sektor swasta yang cuba meninggalkan asas Perlembagaan berhubung komunikasi dengan kerajaan dalam bahasa kebangsaan," tambahnya.

Anwar berkata, arahan ini tidak boleh dipandang ringan, sambil menambah perintah yang lebih jelas akan dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam berhubung perkara itu.

Beliau berkata, mencapai kejayaan ekonomi tidak akan bermakna jika bahasa kebangsaan yang menjadi sebahagian daripada budaya kita tidak diperjuangkan.

Anwar menegaskan bahawa beliau tidak mengambil ringan mengenai perkara itu malah menekankan penggunaan bahasa kebangsaan.

"Saya mengingatkan rakan-rakan saya bahawa saya tidak akan memberi syarahan di Universiti Washington jika saya tidak menguasai bahasa Inggeris.

"Tetapi mengakar ke bumi dan memperjuangkan bahasa kebangsaan adalah sesuatu yang perlu dalam pembinaan negara," tambahnya.

Beliau menggesa generasi muda untuk menanam tabiat membaca yang terjejas sejak beberapa tahun kebelakangan ini berikutan kemunculan media sosial. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram