[VIDEO] Setahun berlalu, ibu Damin Mikhail masih rindu, tak masak lauk kegemaran anak


  • Massa
  • Ahad, 10 Sep 2023

Pada 28 Ogos lalu, niat dua remaja bergurau ketika bermain api di sebuah tandas awam terbiar di Bandar Puncak Alam Fasa 3 membawa padah apabila tindakan itu meragut nyawa rakan mereka.

HARI berganti hari dan bulan berganti bulan, kini setahun sudah berlalu namun masih lagi tiada keadilan yang diterima buat keluarga kepada remaja lelaki yang meninggal dunia dalam kebakaran di sebuah tandas awam terbiar di Bandar Puncak Alam Fasa 3, Selangor pada tahun lalu.

Ibunya, Hizanawati Abu Bakar, 49, berkata, pihak keluarga masih mencari keadilan buat, Muhammad Damin Mikhail Kamsol, 16, yang maut angkara perbuatan dua rakannya yang lain.

Lebih memilukan ibu kepada enam orang anak itu berkata, kes tersebut masih lagi belum menemui jalan penyelesaian.

"Pada 28 Ogos lalu, iaitu genap setahun arwah Damin meninggal, Mahkamah Majistret Kuala Selangor telah membacakan pertuduhan kepada dua rakan arwah yang terlibat dalam insiden tersebut.

"Namun, anak dan menantu sulung saya tidak dibenarkan mendengar pertuduhan tersebut dan pihak polis mengarahkan kami agar keluar dari mahkamah sebaik sahaja pertuduhan hendak dibacakan ke atas kedua-dua pelaku.

"Tetapi pada hari yang sama, saya dimaklumkan oleh seorang pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh, kedua-dua tertuduh mengaku bersalah.

"Saya juga difahamkan kedua-dua mereka diikat jamin sebanyak RM1,000 setiap seorang.

"Namun, kes yang sepatutnya disiasat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan iaitu kematian tanpa niat ditukar kepada Seksyen 436 Kanun Keseksaan," katanya kepada Majoriti.

Katanya lagi, susulan daripada keputusan mahkamah tersebut, kes itu akan dihantar ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk penilaian tentang tingkah laku kedua-dua pelaku.

"Maksudnya pihak JKM akan menyiasat dan memerhati tingkah laku mereka dan selepas lengkap laporan daripada JKM baru kes ini akan disebut semula di mahkamah pada Oktober nanti," tambahnya.

Menceritakan kembali detik hitam tersebut, dia sempat berbalas mesej melaui aplikasi WhatsApp dengan anak kelimanya itu sebelum remaja berkenaan menemui ajal pada pukul 2.26 petang.

"Selepas mesej arwah, saya menunaikan solat zohor sebelum rakan arwah datang ke rumah dan memberitahu arwah terperangkap dalam kebakaran tersebut.

sambal-o_HMfield_image_listing_featured_v2.var_1661758722

Damin yang berusia 16 tahun ketika kejadian ditemukan rentung selepas kebakaran tandas terbiar itu dipadamkan pihak bomba.

"Saya terus bergegas ke tempat kejadian tanpa mengetahui hal sebenar dan keesokan (Isnin) harinya barulah saya tahu hal yang sebenar melalui laporan media.

"Dua rakan arwah yang terlibat dalam kes tersebut ada datang menemui saya selepas selesai upacara pengebumian dan menceritakan apa yang terjadi pada waktu itu.

"Mereka pada masa yang sama ada meminta maaf dan saya beritahu saya boleh maafkan tetapi akan ambil masa," katanya dengan nada yang sebak.

Tambahnya lagi, sejak daripada pertemuan itu, dia tidak lagi berhubung dengan kedua-dua rakan arwah.

"Kedua-dua mereka sudah tidak menggunakan nombor yang sama dan ibu bapa mereka pun tidak pernah berjumpa dengan saya kecuali waktu pengebumian jenazah untuk meminta maaf," katanya.

73458705_697343004121766_3357836403021971456_n

Hizanawati masih tidak dapat melupakan peristiwa hitam yang mengorbankan nyawa anak lelakinya.

Selain itu, Hizanawati masih terkesan dengan peristiwa tersebut walaupun sudah setahun berlaku.

"Akak masih tidak boleh melihat lokasi kejadian, luka itu masih ada. Masih perit lagi di dalam hati.

“Damin paling suka masak lemak ayam cili api, sampai sekarang akak tak masak juadah itu sebab ia memang lauk kegemarannya,” katanya lagi.

Pada masa sama, katanya, dia sekeluarga terkilan dan kecewa dengan sikap segelintir warga maya yang melemparkan komen negatif mengenai arwah.

"Saya mengabaikan komen terbabit kerana ramai lagi yang memberi kata-kata semangat supaya meneruskan kehidupan.

"Pada ketika ini, saya hanya berharap agar Damin mendapat keadilan sepatutnya," katanya.

Pada 28 Ogos lalu, niat dua remaja bergurau ketika bermain api di sebuah tandas awam terbiar di Bandar Puncak Alam Fasa 3 membawa padah apabila tindakan itu meragut nyawa rakan mereka.

Mangsa yang berusia 16 tahun ditemukan rentung selepas kebakaran tandas terbiar itu dipadamkan pihak bomba.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed dilaporkan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan iaitu kematian tanpa niat.

Beliau berkata, kedua-dua rakan mangsa yang berusia 15 serta 16 tahun sudah ditahan bagi membantu siasatan dan hasil ujian saringan air kencing terhadap kedua-dua remaja itu mendapati mereka negatif dadah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram