SATU kemalangan ngeri dilaporkan berlaku membabitkan seorang remaja perempuan yang tercampak selepas dirempuh sebuah kereta di Jalan Pesanggrahan Raya, Kembangan, Jakarta Barat, Indonesia pada Isnin.
Ketika kejadian, mangsa, Nazalla Alfiyani, 18, terlebih dahulu dilihat sedang duduk bersandar pada motosikalnya sambil berbual dengan seorang individu lelaki dipercayai rakannya.
Namun, situasi tidak diduga berlaku apabila kenderaan jenis Toyota Fortuner yang bergerak laju di jalan tersebut terus merempuh remaja terbabit hingga tercampak jauh dari lokasinya.
Ketua Polis Trafik Metro Jakarta, Ajun Komisaris Besar Polisi (AKBP) Mokhhamad Sigit Purwanto berkata, kemalangan terbabit berlaku kira-kira pukul 2.50 pagi.
"Pemandu dikenali sebagai Kevin Steven Salim, 28, difahamkan datang dari arah Selatan ke Utara dan dipercayai mabuk ketika kejadian.
"Sebaik tiba di laluan berkenaan, pemandu itu merempuh seorang perempuan yang sedang duduk di atas motosikalnya.
"Akibat kemalangan itu, mangsa tercampak dan mengalami kecederaan parah di kepala, tangan dan perut.
"Dia kini dirawat di Hospital Pondok Indah Puri Indah, Jakarta Barat, Indonesia," katanya.
Punca kejadian masih dalam siasatan polis dan keputusan makmal masih dinantikan untuk mengesahkan sama ada pemandu mabuk ataupun tidak. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook,