KERIANGAN empat beradik yang bermain tali air di tepi kawasan bendang dekat Kampung Pantai Cicar, Kuala Ketil, Baling, Kedah bertukar tragik apabila salah seorang daripadanya ditemui mati lemas pada Isnin.
Mangsa kanak-kanak lelaki berusia empat tahun itu dilaporkan maut di lokasi kejadian kira-kira pukul 4.50 petang.
Ketua Polis Daerah, Superitendan Shamsuddin Mamat berkata, mangsa dikenali sebagai Muhammad Haikal Zulkifly yang tinggal di Kampung Pantai Cicar dan ketika kejadian, dia sedang bermain di tali air tersebut bersama tiga orang adik beradik serta rakannya.
"Ketika kejadian, kakak mangsa, Nur Aira Damia Zulkifly, mendapati adiknya telah hilang lalu bergegas pulang ke rumah dan memanggil bapanya yang sedang tidur untuk memaklumkan tentang kehilangan itu.
"Bapanya kemudian terus ke tempat kejadian dan dapati mangsa telah pun diselamatkan oleh penduduk kampung dan berada di atas tanah tepi tali air tersebut," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurutnya, bapa mangsa terus memberi bantuan pernafasan (CPR), namun mendapati tiada denyutan nadi dan lantas membawa anaknya ke Klinik Kesihatan Kuala Ketil untuk pemeriksaan lanjut.
"Lokasi berkenaan merupakan kawasan yang menyalurkan sumber air untuk kegunaan bendang yang mengalami air pasang surut, di tempat kejadian tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) dan berada lebih kurang 200 meter dari kediaman perumahan.
"Kedalaman kawasan tali air itu sentiasa berubah mengikut penghadang yang menghadang laluan air tersebut namun kebiasaannya adalah lebih kurang paras lutut kaki dewasa," ujarnya.
Tambahnya, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah bagi tujuan bedah siasat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook,