[VIDEO] Pemandu BMW biar budak keluar kepala ikut 'sunroof' undang kecaman


  • Tular
  • Isnin, 23 Okt 2023

Tangkap layar seorang kanak-kanak dirakam mengeluarkan kepala ikut 'sunroof' dari sebuah kereta di Ipoh, Perak.

TINDAKAN seorang kanak-kanak lelaki yang dirakam mengeluarkan kepalanya melalui sunroof (bumbung tembus cahaya) sebuah kereta di Ipoh, Perak pada Ahad hangat diperkatakan warganet.

Video berdurasi 27 saat itu memaparkan aksi berbahaya dilakukan budak terbabit apabila separuh daripada badannya berada di ruang tersebut.

Dalam pada itu, kenderaan jenis BMW berwarna biru itu turut dirakam memandu laju di lorong kanan sekali gus mengundang kecaman di laman media.

Rata-ratanya mempertikaikan sikap lalai si pemandu yang membiarkan kanak-kanak itu melakukan perkara tersebut.

"Sikap ibu bapa yang tak pentingkan keselamatan anak-anak, boleh didakwa sepatutnya kerana melanggar peraturan jalan raya," kata Nor Shuhada.

"Pandu laju lepas itu anak dibiarkan keluar kepala ikut 'sunroof', kalau dah tercampak keluar siapa nak disalahkan," ujar Mohd Amsyar.

"Dah banyak kali kes macam ini berlaku, tapi masih ada yang degil, elok diharamkan terus kereta yang ada 'sunroof', senang kerja polis tak payan keluar saman banyak kali," tambah Khairul004.

Untuk rekod, kesalahan itu boleh disiasat mengikut Seksyen 336 iaitu atas perbuatan cuai sehingga membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain dan individu terbabit boleh dihukum penjara tidak melebihi tiga bulan atau denda tidak melebihi RM500 atau kedua-duanya sekali.

Namun, sehingga kini masih belum ada sebarang kenyataan polis berhubung insiden berkenaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai berhampiran untuk membuat laporan lanjut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram