KES keganasan rumah tangga terhadap isteri semakin menjadi-jadi bukan sahaja di Malaysia, malah turut kerap dilaporkan berlaku di negara jiran, Indonesia.
Buktinya baru-baru ini, warga maya mengecam tindakan seorang suami yang tergamak memukul dan menendang isterinya yang sedang hamil hingga keguguran.
Selain dipukul, wanita malang berkenaan juga dikatakan telah diusir dari kediaman mereka.
Lebih mendatangkan kemarahan netizen, tindakan lelaki dayus tersebut telah disokong oleh ibunya sendiri.
Menerusi rakaman tular yang dikongsikan di laman X (Twitter), pertelingkahan pasangan berkenaan dipercayai berpunca daripada perselisihan faham mengenai barangan di dalam rumah mereka.
Jelas kedengaran ibu mentua wanita itu lebih membela dan menyokong anak lelakinya.
Sewaktu pertengkaran tersebut, si isteri yang dikenali sebagai Sella cuba meminta pampasan daripada suaminya dengan menyatakan bahawa dia yang telah membiayai semua keperluan diri dan rumahnya sepanjang perkahwinan mereka.
"Jadi apa yang awak mahu sebenarnya?" tanya suami Sella.
“Saya nak minta ganti rugi,” balas Sella.
“Baiklah, buat ganti rugi, kemas semua barang awak,” marah si suami.
“(Saya boleh keluar rumah) tapi bayar ganti rugi dulu. Dari awal berkahwin sampai sekarang, saya yang tanggung semua perbelanjaan," kata Sella.
Dalam pada itu, untuk membela dirinya, si suami mengaku dia tidak pernah sekali pun berkasar atau 'naik tangan' terhadap isterinya sejak mereka berkahwin, selain tidak mengaku bertanggung jawab menyebabkan isterinya keguguran.
Pergaduhan itu juga turut disaksikan jiran-jiran yang tinggal berdekatan dengan rumah mereka. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram