[VIDEO] Hafidz Roshdi dakwa isteri sengaja gugurkan kandungan


Hafidz yang hadir bersama peguamnya di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada Selasa.

PELAKON Hafidz Roshdi mendakwa, isterinya, Nurul Syuhada Mat Syukri sengaja menggugurkan kandungan anak ketiga mereka pada April lalu.

Kata Hafidz, dia membuat laporan polis selepas Nurul Syuhada ada meluahkan hasrat untuk menggugurkan kandungan menerusi kiriman WhatsApp pada 7 April.

“Dia ada bagi tahu yang dia hamil dan ingin gugurkan kandungan. Saya menghalang dan dan disebabkan bimbang saya buat laporan polis.

“Lepas itu saya dapat tahu yang dia keguguran. Disebabkan itu saya buat laporan polis dan biarkan mereka membuat siasatan,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor pada Selasa.

Hafidz turut memberitahu, Nurul Syuhada kemudian ada meminta wang daripada dirinya selepas berita keguguran itu dimaklumkan kepadanya.

“Saya tidak tahu duit itu untuk apa sebab dia kata, dia tidak jumpa bil hospital. Yang jelas, saya menghalang dia untuk menggugurkan kandungan itu.

“Saya ada beritahu yang akan bertanggungjawab dan menjaga anak itu nanti. Saya minta dia untuk menjaga kandungan dengan baik dan diri dengan baik,” jelasnya.

Sementara itu, peguam Hafidz, Datuk Akberdin Abdul Kader mengatakan anak guamnya, membuat dua laporan polis berkaitan keguguran Nurul Syuhada itu.

“Pihak kami terus memaklumkan kepada peguam Nurul Syuhada pada hari yang sama menerima kiriman WhatsApp berkaitan menggugurkan kandungan.

“Dia ada memberitahu mengatakan untuk menggugurkan kandungan, kemudian dia beritahu gugur, perkara itu kelihatan seperti satu kebetulan.

“Itu adalah satu kesalahan jenayah menggugurkan kandungan dengan sengaja,” katanya.

Hafidz yang tiba bersama peguam dan seorang ahli keluarganya ke mahkamah bagi pengesahan lafaz cerai di luar mahkamah.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula pengesahan lafaz cerai luar mahkamah pada 20 Jun depan.

Pihaknya turut menghantar permohonan hadanah kepada pihak defendan untuk menuntut penjagaan anak dan kes itu akan disebut semula pada 12 Jun.

Nurul Shuhada dilaporkan memfailkan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 27 Februari lalu dan kes perceraian dibuat mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Untuk rekod, pasangan Hafidz mendirikan rumah tangga dengan Nurul Shuhada pada 30 April 2016 dan hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 6 dan Umar, 2. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram