Polis sahkan terima 2 laporan kes keguguran kandungan isteri Hafidz Roshdi


  • 112
  • Selasa, 09 Mei 2023

Hafidz mengatakan dirinya sudah dua kali membuat laporan polis berkaitan kejadian keguguran isterinya, Nurul Syuhada.

POLIS mengesahkan menerima dua laporan yang dibuat pelakon Hafidz Roshdi berhubung dakwaan keguguran yang dialami isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, polis menerima laporan itu pada 17 April pukul 9 malam dan pada 6 Mei pukul 1.21 tengah hari tetapi tidak menjalankan siasatan lanjut.

"Laporan polis dirujuk ke Mahkamah Syariah kerana kes berkaitan isu itu masih berjalan. Jika benar seperti yang didakwa pengadu, satu lagi laporan polis perlu dibuat dengan maklumat berkaitan bagi membolehkan siasatan lanjut.

“Laporan itu akan dimajukan ke kawasan yang didakwa berlaku keguguran,” katanya.

Selepas prosiding penceraian terhadap isterinya sebelum ini, Hafidz Roshdi, 29, berkata, dia telah membuat dua laporan polis terhadap Nurul Shuhada, 29, berhubung keguguran anak ketiga mereka beberapa hari sebelum Aidilfitri bulan lalu.

Laporan polis pertama dibuat untuk melindungi dirinya, sementara laporan kedua selepas Nurul Shuhada didakwa meminta wang untuk membayar rawatannya akibat keguguran itu.

Bagaimanapun Nurul Syuhada tidak dapat mengulas dakwaan suaminya kerana perkara itu masih dalam siasatan polis, sambil menambah beliau akan memberikan keterangannya di balai polis Kangar di Perlis, pada Selasa. Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram