RAMAI wanita semestinya berasa gusar dan bimbang apabila bercakap tentang sista ovari atau yang juga lebih dikenali sebagai cyst. Jika anda mengalami masalah sista ketika hamil, jangan risau kerana ia tidak mendatangkan bahaya atau boleh membawa maut.
Biasanya sista ovari tidak akan mendatangkan apa-apa kesan terhadap ibu dan bayi kerana ia akan hilang dengan sendirinya. Namun begitu, ada juga sista yang boleh mendatangkan kesakitan kepada si ibu kerana ketumbuhan itu boleh tumbuh sehingga terlalu besar yang akan membuatkan ibu rasa sakit pada bahagian pelvis dan perut.
Walau bagaimanapun, sista ketika hamil tidak akan menganggu kesuburan anda kerana doktor akan melakukan pemantauan yang rapi. Tambahan pula, tidak semua sista ovari memerlukan pembedahan dan ia tidak memberi kesan terhadap kehamilan anda.
Namun begitu, doktor ataupun petugas kesihatan perlu membuang sista jika ibu mempunyai risiko untuk mengalami keguguran atau kelahiran pramatang. Sista ketika hamil selalunya akan hilang dengan sendirinya pada trimester kedua.
Walaupun tidak berbahaya namun sista ovari perlu dicegah dengan lebih awal.
Walaupun sista ketika hamil bukan sesuatu yang boleh membawa mudarat kepada ibu dan bayi dalam kandungan namun ibu akan rasa sangat sakit apabila sista pecah dan berdarah. Oleh itu, ibu digalakkan untuk melakukan pembedahan agar dapat mengelakkan ovari daripada luka dengan lebih teruk.
Antara simptom yang dialami oleh ibu mengandung adalah seperti pendarahan vagina, rasa mual, muntah, pening kepala dan demam,jika gejala tersebut berlaku, ibu perlu berjumpa dengan doktor kadar yang segera.
Menerusi pengalaman daripada Aleana (bukan nama sebenar) seorang ibu yang pernah mengalami keadaan tersebut mengatakan pertama kali sista itu dikesan apabila timbul ketulan kecil di bahagian vagina sebelah kanan.
"Pertama rasa tidak sakit sebab ketulan masih kecil,tapi dalam beberapa minggu, ia mulai membesar dan rasa sangat sakit.
"Tindakan awal yang saya buat sebelum berjumpa doktor adalah berendam air garam tetapi mungkin disebabkan jangkitan kuman sudah merebak jadi saya perlu pergi ke hospital dan tidak menyangka disarankan untuk dibedah," katanya kepada Majoriti.
Lebih memilukan apabila dia melalui proses pembedahan itu ketika sedang hamil enam bulan anak pertamanya.
"Saya sedang mengandung enam bulan ketika itu dan ia sangat sakit disebabkan sudah bernanah akibat jangkitan kuman," kata ibu berumur 25 tahun itu.
Selepas proses pembedahan itu selesai, dia telah ditahan di Hospital Keningau, Sabah untuk pemantauan lanjut dan diberikan ubat antibiotik melalui suntikan jarum selama satu minggu.
Selepas pembedahan pertama sista dibuang, ketika usia kandungan memasuki bulan ketujuh kehamilan, sista itu timbul kembali dan perlu dibedah untuk kedua kalinya di hospital yang sama.
"Selepas dua kali membuat pembedahan pembuangan sista tersebut, saya menggunakan air garam saja dan akhirnya sampai sekarang sista itu tidak timbul.
"Doktor yang merawat saya ketika itu memberitahu bahawa pemakanan yang tidak sihat punca sista tersebut aktif seperti susu soya dan makanan yang mempunyai kolagen.
"Saya tidak pernah lagi minum atau makan makanan yang boleh mengaktifkan sista kerana keperitan yang saya alami, kalau boleh tidak mau berulang kembali," kongsinya.
Pengamalan pemakanan sihat amat penting agar tidak mengaktifkan sista. Walaupun sista tidak membawa kepada kronik namun adalah baik jika ia dicegah dengan lebih awal. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram