TIDAK sampai lima saat, seorang pemilik motosikal berkuasa tinggi hanya mampu berputih mata selepas motor yang diletakkan di luar pagar rumahnya dilarikan dua penyamun tidak dikenali.
Kejadian itu dipercayai berlaku di kawasan perumahan dekat Malihah Jaya, Kuching, Sarawak baru-baru ini.
Insiden tersebut berjaya dirakam menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) rumah berkenaan.
Menerusi video berdurasi 41 saat yang dikongsikan di laman Facebook Sarawak Roads Update pada Sabtu, kelihatan dua individu secara tiba-tiba memberhentikan motosikal yang dinaiki mereka di depan sebuah rumah sambil memerhatikan keadaan sekeliling.
Tidak menunggu lama, salah seorang lelaki itu dilihat segera menghidupkan motosikal berkuasa tinggi yang diparkir di hadapan rumah berkenaan.
Anehnya, motor itu berjaya dihidupkan dalam tempoh kurang dari lima saat sahaja, sebelum ia dibawa lari.
Namun menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya mempersoalkan bagaimana penyamun itu dengan mudahnya boleh menghidupkan motosikal tersebut.
"Siapa suruh parkir luar? Sekarang bahaya, jangan mudah percaya orang zaman sekarang," tulis Reizu Hari.
"Kecuaian diri sendiri, parkir luar satu (hal), kemudian tidak berkunci. Pencuri tengok memang rezekilah. Memang dipermudahkan urusan," kata Sylvester Kelvyen.
"Motor kalau letak di luar memang senang kena curi. Ambil pengajaran juga untuk semua, jangan lalai," ujar Jihadi.
Setakat berita ini ditulis, masih belum ada sebarang kenyataan pihak berkuasa berhubung kes tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram